KOTA KINABALU: Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Sabah menjunjung kasih kepada Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar Datuk Haji Mahiruddin atas khidmat bakti beliau kepada negeri Sabah.
Pengerusi PPN Sabah, Datuk Mohd.Nazri Abdullah berkata, Tun Juhar selaku Yang Di-Pertua Negeri Sabah ke 10 banyak berjasa
kepada negeri ini.
Katanya, Tun Juhar mencatat sejarah kerana merupakan TYT Sabah yang paling lama berkhidmat setakat ini.
“Ahli Jemaah Pengarah (AJP) dan seluruh ahli PPN Sabah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Tun Juhar yang telah berkhidmat dengan cemerlang”, katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tun Juhar akan tamat tempoh perkhidmatannya pada 31 Disember ini selepas memegang jawatan berkenaan sejak 2011.
Sementara itu, Yang Di-Pertua Negeri Sabah ke 11, Tun Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman akan mengangkat sumpah jawatan pada 1 Januari 2025.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menyerahkan Surat Cara Pelantikan kepada Tun Musa sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah Ke-11 di Istana Negara pada 17 Disember 2024.
Bekas Ketua Menteri Sabah itu turut dikurniakan darjah kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara oleh Yang di-Pertuan Agong yang membawa gelaran Tun.-pr/BNN