KINARUT: Kerajaan negeri akan terus mempergiatkan usaha menambah baik
pemeliharaan warisan budaya dan pengurusan alam sekitar untuk terus memacu dan
memperkasa industri pelancongan di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, bagi menyokong usaha
itu, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM102.87 juta kepada Kementerian
Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri untuk tujuan operasi dan pelaksanaan
pelbagai program serta projek pembangunan pada tahun 2025.

Beliau berkata, industri pelancongan negeri ini memerlukan lebih banyak produk baharu
yang boleh menjadi tarikan kepada pelancong dari dalam dan luar negara memandangkan
Sabah mempunyai pelbagai sumber pelancongan yang boleh dipelbagaikan sama ada
berasaskan flora dan fauna mahu pun khazanah budaya serta warisan etnik negeri ini.

Sejajar dengan harapan itu, beliau mengajak pemain industri pelancongan di negeri ini
meneroka idea-idea baharu untuk menghasilkan produk pelancongan menarik, sekali gus
memastikan Sabah terus menjadi pilihan pelancong dalam dan luar negara.

“Usaha kita untuk menarik kehadiran pelancong ke Sabah dengan meningkatkan produk
pelancongan juga selari dengan komitmen kerajaan Malaysia untuk menjayakan kempen
Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 yang menyasarkan lebih 35 juta pelancong.

“Walaupun Sabah menyasarkan seramai 3.7 juta pelancong, namun sebagai persediaan
untuk TMM 2026, kita mesti bersedia untuk menerima kehadiran lebih ramai pelancong ke
negeri ini. Justeru, pemain industri harus sedia dan lebih kreatif untuk menambah produk
baharu pelancongan negeri ini”, katanya pada Majlis Pecah Tanah Kompleks Kebudayaan
Sabah di Kinarut, Papar pada Sabtu.

Hajiji berkata, pemain industri pelancongan, termasuk dalam kalangan usahawan muda
perlu terus menggunakan teknologi baharu dalam mempromosikan produk pelancongan
berasaskan kebudayaan tempatan kerana cara itu boleh memperkenalkan keunikan
kebudayaan Malaysia, sekali gus menarik minat pelancong berkunjung ke negara ini.

Selain itu katanya, pembangunan produk pelancongan yang baharu ini juga mampu
menyediakan peluang pekerjaan serta memberi peluang kepada komuniti tempatan untuk
terlibat dan menikmati manfaat daripada industri pelancongan.

Beliau yakin Kompleks Kebudayaan Sabah yang melibatkan pembinaan 2 komponen
utama, iaitu Kampung Budaya dan Pusat Kebudayaan akan menjadi produk pelancongan baharu yang menawarkan pengalaman yang unik, inovatif dan berbeza daripada pelancongan sedia ada.

Katanya, kompleks ini juga akan menjadi tambahan kepada pusat kebudayaan sedia ada di
negeri ini iaitu Pusat Kebudayaan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazan
Dusun, Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Sama Sabah, dan Pusat Kebudayaan Murut
Tenom.

Menurutnya, pembinaan Kompleks Kebudayaan Sabah menerusi kerjasama pintar antara
Kerajaan Negeri dan sektor swasta, adalah bukti komitmen berterusan daripada kerajaan
untuk mewujudkan kompleks pertama yang akan menghimpunkan warisan budaya pelbagai etnik di negeri ini,

“Ini sekaligus menandakan permulaan kepada satu lagi mercu tanda penting bagi Sabah
yang mencerminkan hasrat kita untuk memelihara, menghargai dan mengangkat warisan
budaya negeri yang kaya dengan keunikan etnik dan tradisinya.

“Kerajaan negeri akan memastikan pembangunan projek ini dapat dilaksanakan dengan
cermat, mengikut garis panduan dan peraturan yang telah ditetapkan. Manfaat daripada
kejayaan projek ini bukan saja dinikmati oleh generasi masa kini, malah pada masa akan
datang”, tegasnya.

Hajiji juga menyeru semua pemimpin masyarakat, ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan persekutuan dan negeri, badan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan dan semua lapisan masyarakat negeri ini agar terus memperkasa dan memelihara seni, budaya dan warisan bangsa yang kita miliki dengan sebaik-baiknya agar tidak pupus ditelan zaman.

“Marilah kita bersama-sama menyokong usaha ini demi merealisasikan impian menjadikan
Sabah sebagai negeri yang kaya dengan warisan dan budaya”, katanya.-pr/BNN