KOTA KINABALU – Datuk Seri Panglima Christina Liew, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, hari ini berucap mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Bin Haji Noor atas inisiatifnya dalam membina Kompleks Kebudayaan Sabah.

“Masyarakat Sabah akan menikmati manfaat dari Kompleks Kebudayaan Sabah yang akan menjadi simbol kebanggaan bagi rakyat Sabah,” kata Christina.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Pecah Tanah Kompleks Kebudayaan Sabah yang diadakan di Institut Kemahiran Belia Negara Kinarut, Papar

Beliau berkata, Kompleks ini tidak hanya akan menjadi pusat warisan dan identiti budaya negeri ini, malahan akan menjadi ruang penting untuk mendidik masyarakat tentang nilai-nilai murni, sejarah, seni, dan tradisi yang telah lama menjadi sebahagian daripada kehidupan kita.

“Kompleks ini juga akan membuka peluang ekonomi dan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan,” katanya.

Dia berharap agar pewujudan Kompleks ini memainkan peranan penting dalam memperkaya warisan budaya negeri Sabah serta memastikan kelestarian nilai-nilai budaya yang amat berharga kepada rakyat negeri Sabah.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah bersama-sama dengan Kementerian dan agensi dalam memastikan majlis pada hari ini dapat dijalankan dengan lancar,” kata Chistina lagi.

“Semoga dengan terbinanya Kompleks Kebudayaan Sabah, ia akan menjadi pusat kebanggaan dan pencetus kepada lebih banyak lagi inisiatif kebudayaan di negeri ini pada masa akan datang,” ucap beliau.

Kompleks itu dijangka menjadi tarikan pelancong dan tempat yang indah untuk orang-orang Sabah menikmati dan mempelajari tentang kebudayaan dan warisan negeri ini.-pr/BNN