TUARAN: Kerajaan negeri Sabah akan terus bekerjasama dengan Persekutuan dalam
melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan prestasi bekalan elektrik di negeri
ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata ini termasuk inisiatif yang dirangka berdasarkan kuasa kawal selia oleh
Energy Commission of Sabah (ECoS) dalam Pelan Induk dan Halatuju Tenaga Sabah
2040 (SE-RAMP 2040).
“Walaupun kuasa kawal selia bekalan elektrik Sabah telah diserahkan kepada Kerajaan
Negeri, saya berharap agar kerjasama di antara kedua-dua pihak tetap utuh dengan
menunjukkan kesepakatan dan komitmen yang tinggi bagi memberikan kemudahan
terbaik kepada rakyat,” katanya sempena Program Sabah Electricity bersama Komuniti,
Rumah Terbuka Krismas 2024 dan Tahun Baharu 2025 di Dewan Seri Sulaman, di sini,
pada Ahad.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri III yang juga Menteri
Kerja Raya Datuk Ir Shahelmey Yahya.
Katanya, antara usaha yang dilaksanakan di peringkat kerajaan negeri adalah
pengecualian surcaj Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) bagi tempoh enam bulan
bermula 1 Januari hingga Jun 2025.
“Subsidi sebanyak RM50.9 juta diperuntukkan kepada pengguna domestik yang layak
dan pengguna bukan domestik dalam kategori tarif voltan rendah yang terdiri juga dari
golongan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS.
“Faktor utama masalah bekalan elektrik di negeri ini tidak hanya berkaitan dengan
masalah kekurangan kapasiti penjanaan tetapi ditambah dengan kenaikan beban
pengguna akibat pertumbuhan ekonomi yang pesat.
“Justeru, Kerajaan negeri akan memberikan fokus kepada usaha memastikan Pelan
Pembangunan Penjanaan jangka pendek berjaya dilaksanakan bagi mencapai jidar
simpanan kapasiti penjanaan (generation capacity reserve margin) ke tahap 30
peratus,” katanya.
Beliau berkata, bagi memastikan kejayaan ini dan menambahbaik situasi bekalan
elektrik di Sabah, Kerajaan Negeri melalui ECoS akan terus bekerjasama dengan Sabah
Electricity dalam memudah cara dan memberikan sokongan bagi melaksanakan Pelan
Transformasi Sabah Electricity.
Sementara itu Hajiji berkata, kerajaan GRS-PH memberi layanan yang sama rata
kepada setiap rakyat di negeri ini tanpa memikirkan perbezaan agama, kaum dan juga
etnik.
“Inilah bukti keprihatinan dalam pentadbiran kerajaan GRS-PH. Oleh itu, saya berharap
sempena majlis pada hari ini, kita rapatkan persaudaraan, perpaduan dan keharmonian
rakyat berbilang kaum dan agama khususnya di negeri ini.
“Dalam pada itu, sebagai sebuah negeri yang berbilang kaum, kita amat bertuah kerana
dapat menyambut pelbagai perayaan yang ada di negara ini.
“Krismas yang baru dirayakan oleh masyarakat Kristian pada bulan Disember lalu,
manakala Tahun Baharu Cina yang akan disambut masyarakat Tionghua dalam
beberapa hari lagi, menunjukkan betapa negara ini menghargai dan menghormati setiap
perayaan yang ada di negara ini,” katanya.
Beliau turut berharap agar amalan berkongsi perayaan dan menghormati perayaan
kaum-kaum lain serta tradisi kunjung mengunjung di musim perayaan ini perlu
diteruskan supaya kekal menjadi identiti masyarakat Malaysia yang unik lagi harmoni.-pr/BNN