KOTA KINABALU: Kepelbagaian bangsa dan agama tidak memisahkan hubungan malah membantu membina sebuah masyarakat yang harmoni di negeri ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata inilah kekuatan Sabah yang terletak kepada kepelbagaian bangsa, agama, tradisi, etnik dan bahasa yang ada di negeri ini.
“Marilah kita rapatkan barisan ke arah Sabah lebih maju serta progresif dan pertahankan
hubungan persaudaraan yang harmoni ini terus menjadi tunjang pembangunan dan
keamanan negeri ini.
“Dalam pada itu, tahun 2025 adalah tahun terakhir bagi Pelan Pembangunan Hala Tuju
Sabah Maju Jaya 1.0 iaitu untuk tempoh 2021-2025. Sekiranya kita diberi mandat, kita
akan teruskan dengan halatuju SMJ 2.0 dari tahun 2026 hingga tahun 2030.
“Sesungguhnya, tidak dinafikan Hala Tuju SMJ ini telah berjaya merubah dan
memperbaiki prestasi ekonomi Sabah yang sebelum ini jatuh merudum akibat pandemik
COVID-19,” katanya dalam Perutusan Tahun Baharu Cina 2025, di sini pada Isnin.
Hajiji turut mengucapkan terima kasih kepada masyarakat Tionghua atas sokongan
berterusan yang diberikan dalam membangunkan negeri ini.
“Selaku Ketua Menteri, saya memberi jaminan bahawa kesejahteraan rakyat, termasuk
masyarakat Tionghua akan terus diberi keutamaan.
“Semoga tahun ini akan membawa sinar harapan, kekuatan, kebahagian dan kesihatan
yang baik di samping menikmati lebih kemakmuran.
“Kita bersyukur kerana rakyat Malaysia di Sabah, terutamanya yang berketurunan
Tionghua akan menyambut Tahun Baharu Cina pada tahun ini, iaitu Tahun Ular dalam
suasana aman, harmoni dan penuh kegembiraan,” katanya.
Hajiji turut mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baharu Cina, Gong Xi Fa Cai
kepada semua masyarakat Tionghua dan yang meraikannya di negeri ini.-pr/BNN