KOTA KINABALU: Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat, Gabungan Rakyat Sabah (Mutiara GRS) telah meraikan 50 orang kanak-kanak sempena program Sambutan Tahun Baru Cina 2025 pertubuhan itu yang diadakan di Putera Ballroom, Luyang pada hari Selasa.
Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag, yang juga Yang Di-Pertua Mutiara GRS, telah menyampaikan “goodie bags” dan Angpow kepada kanak-kanak dari lima buah sekolah di sekitar Kota Kinabalu. Juliah menyatakan bahawa program tahunan Mutiara GRS ini bertujuan untuk menyantuni kanak-kanak terpilih dari Sekolah Tinggi Kota Kinabalu, St. Francis Convent, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Shan Tao, Chung Hwa Kota Kinabalu, dan Sekolah Kebangsaan (Cina) Anglo Chinese.
“Menerusi program sambutan ini, kita berharap dapat mengeratkan hubungan silaturahim dan perpaduan, selain membawa keceriaan dan kemeriahan sambutan Tahun Baru Cina kepada kanak-kanak ini,” katanya. Beliau juga menambah bahawa Mutiara GRS telah merancang beberapa program yang akan dilaksanakan tahun ini, termasuk program menyantuni rakyat dan golongan wanita di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) terpilih.
Selain jamuan makan, kanak-kanak tersebut turut dihiburkan dengan persembahan Tarian Singa, permainan kanak-kanak, dan persembahan magic. Turut hadir pada acara tersebut adalah Naib Yang Di-Pertua I Mutiara GRS, Datin Seri Panglima Cecilia E. Kitingan, Naib Yang Di-Pertua III/Setiausaha Kehormat, Datin Dg. Siti Noor Hayyat Ag Mohd. Saufi, Pengerusi Pelaksana Sambutan Tahun Baru Cina Mutiara GRS, Datin Seri Panglima Stella Yong, dan ahli-ahli pertubuhan itu.-pr/BNN