KOTA KINABALU: Kerajaan negeri tetap komited dalam mempertingkatkan lagi pengajian Al-Quran di negeri ini, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata, antara inisiatif yang sedang diusahakan ialah meningkatkan kapasiti pengambilan pelajar Institut Tahfiz Negeri sehingga 300 orang pelajar untuk masa akan datang.
“Langkah ini bukan sekadar ingin melahirkan lebih ramai hufaz, akan tetapi lebih menjurus ke arah membina generasi pencinta al-Quran, yakni golongan yang diharapkan sebagai pejuang tamadun bangsa berlandaskan prinsip-prinsip ajaran al-Quran. “Bagi mencapai hasrat itu, kerajaan negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), akan memberi tumpuan kepada penyediaan infrastruktur pendidikan yang lebih baik bagi mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang lebih kondusif.
“Ini termasuklah membaik-pulih sekolah-sekolah yang serba daif, selain meninjau kemungkinan membina sekolah-sekolah baharu di kawasan yang strategik, bagi menampung keperluan semasa, sesuai dengan bilangan murid yang semakin meningkat tahun ke tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Sabah bagi tahun 1446H/2025M di Dewan Saadah di Wisma MUIS, di sini pada Ahad. Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Musa bin Haji Aman, menyempurnakan Perutusan Perasmian Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Sabah. Yang turut hadir isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Datin Seri Panglima Datuk Hajah Faridah binti Haji Tussin dan isteri Ketua Menteri, Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag.
Hajiji berkata kerajaan juga terus komited menjadikan pendidikan sebagai teras utama pembangunan modal insan di negeri ini, sejajar dengan dasar kerajaan seperti mana yang termaktub dalam Dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya.
“Bagi menyokong usaha itu, kerajaan telah menambah dana Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) daripada hanya RM51 juta kepada RM128 juta pada tahun 2025 ini. “Dengan pertambahan yang berlipat kali ganda itu, selain beberapa lagi insentif pendidikan yang lain, diharapkan lebih ramai anak-anak Sabah berpeluang menerima bantuan kemudahan pendidikan, terutama mereka yang menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, sama ada di dalam atau luar negara. “Ini termasuk jugalah pengajian dalam bidang agama atau pun pengajian Islam,” katanya.-pr/BNN