KOTA KINABALU: Semua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh daerah yang terjejas banjir di Sabah telah ditutup, berikut bencana itu telah pulih sepenuhnya.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, Sekretariat
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah telah memaklumkan
penutupan semua PPS di Sabah.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua petugas, jabatan dan agensi
Kerajaan yang terlibat dalam operasi menyelamat dan pemindahan mangsa semasa
bencana banjir berlaku.

“Saya juga mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak,
termasuk orang awam, pertubuhan bukan kerajaan, persatuan dan individu yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam membantu mangsa-
mangsa banjir semasa bencana itu”, katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hajiji berkata, walaupun daerah-daerah yang terlibat dengan banjir sebelum ini telah
mengisytiharkan bahawa bencana itu telah pulih dan tamat, namun penduduk kampung
terutamanya yang tinggal di kawasan berisiko banjir perlu sentiasa berwaspada dan
bersiap sedia berikutan keadaan cuaca yang sukar diramal.

Katanya, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan daerah juga perlu sentiasa
bersiap siaga serta membuat persiapan menghadapi kemungkinan kecemasan.
Pada 31 Januari lalu, kerajaan negeri jmengalu-alukan pengumuman peruntukan
sebanyak RM25 juta untuk membaiki infrastruktur yang terjejas akibat beberapa
bencana di Sabah dan Sarawak oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Daripada peruntukan itu, masing-masing menerima sebanyak RM10 juta untuk pembaikan infrastruktur awam di negeri Sabah dan Sarawak. Manakala sebanyak
RM5 juta lagi iaitu masing-masing sebanyak RM2.5 juta untuk sumbangan kepada
keluarga mangsa banjir bagi Sabah dan Sarawak mengikut laporan Angkatan
Pertahanan Awam Malaysia (setiap keluarga akan terima RM1000).

Hajiji berkata, bantuan segera itu amat diperlukan bagi membantu membaiki
kemudahan infrastruktur yang rosak dan terjejas akibat bencana banjir di beberapa
daerah di negeri ini.

“Kerajaan negeri mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan dengan
bantuan segera itu”, katanya.-pr/BNN