TENOM: Parti Bersatu Sabah (PBS) N.42 Melalap telah menyerahkan bantuan berbentuk makanan dan minuman untuk mangsa banjir kepada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Tenom yang berpusat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)Tenom, kelmarin.
Sumbangan yang disalurkan berupa beras, makanan kering, makanan dalam tin, serta air mineral telah diterima oleh Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tenom, Mudi Pengiran, yang juga merupakan Timbalan Pengarah PKOB Daerah Tenom.
Sumbangan tersebut akan diagihkan kepada mangsa yang terjejas serta digunakan sebagai bahan masakan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Fredian Gan, bersama isteri serta Ketua Bahagian PBS Melalap, Martin Johanes, dan beberapa Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian serta AJK Pemuda Bahagian telah turun padang untuk menyampaikan sumbangan.
Sehubungan itu, Fredian dalam lawatannya turut menerima taklimat ringkas daripada petugas PKOB, yang memaklumkan bahawa paras air semakin surut tetapi masih berada pada tahap bahaya. Oleh itu, mangsa yang ditempatkan di PPS disarankan untuk kekal di pusat pemindahan sehingga notis kebenaran pulang dikeluarkan oleh pihak berwajib.
Selain itu, AMT PBS, Timbalan Ketua Bahagian dan Penyelaras KDCA Tenom, Stanis Buandi turut menghulurkan sumbangan air mineral kepada mangsa banjir melalui Bilik Operasi Bencana Alam Daerah Tenom, hari ini.
Sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Pemaju Mukim UPPM N42 Melalap, Tay Kok Hiong.
Setakat jam 5.00 petang semalam, seramai 1,157 orang mangsa daripada 485 keluarga telah ditempatkan di 22 buah PPS di Tenom.-pr/BNN