KUALA LUMPUR: Seramai 13,550 orang pelajar Sabah menerima manfaat daripada
tajaan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) sejak tahun 2021 hingga 2024, kata
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Katanya, atas komitmen terhadap bantuan pendidikan kepada anak-anak Sabah,
Kerajaan Negeri terus menambah dana untuk BKNS sehingga mencatat jumlah tertinggi
iaitu RM128 juta pada tahun ini, peningkatan sebanyak 150 peratus berbanding tahun
2020.
“Sejak mengambil alih pentadbiran kerajaan pada bulan Oktober 2020, peruntukan
untuk dana BKNS terus ditambah daripada RM50 juta pada tahun 2020, meningkat
kepada RM55 juta pada 2021, seterusnya RM101 juta pada 2023 dan RM113 juta pada
tahun 2024”, katanya pada Majlis Berbuka Puasa Mahasiswa-Mahasiswi Institusi
Pengajian Tinggi (IPT) Bersama Ketua Menteri di KLCC Convention Centre pada
Khamis.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, Datuk
Dr.Haji Mohd.Arifin Datuk Haji Mohd.Arif, yang juga Exco Pendidikan dan Agama.
Hajiji berkata, Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) yang dilancarnya pada tahun
2022 telah memberi manfaat kepada seramai 7,483 orang pelajar daripada golongan
B40 yang tidak mendapat tajaan daripada mana-mana penaja, melibatkan peruntukan
sebanyak RM8.6 juta.
Menurutnya, bagi memperkasa lagi bantuan pendidikan, pelbagai inisiatif yang telah
dilaksanakan akan diteruskan pada tahun ini, selain ditambah baik untuk membantu
pelajar secara keseluruhannya. Antaranya ialah Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI)
sebanyak RM2,000 kepada pelajar peringkat Ijazah dan RM1,500 kepada pelajar di
peringkat Diploma atau Matrikulasi.
Bantuan Khas Peperiksaan (BAKTI) iaitu RM200 kepada pelajar yang menduduki
peperiksaan SPM, STPM dan STAM, selain Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi
Dalam Negeri (SENTOSA) dan subsidi Bantuan Tiket Penerbangan Pelajar Sabah
(SUBFLY) kepada semua pelajar IPT awam dan swasta yang menuntut di
Semenanjung, Sarawak dan Labuan.
Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah (YS)
berkata, Kumpulan YS secara berterusan menawarkan pelbagai jenis tajaan membantu
pelajar Sabah seperti Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah, Biasiswa Cemerlang Pelajar
Luar Bandar, Biasiswa IPTA, Biasiswa IPTS, Dermasiswa dan Pinjaman Pengajian
Tinggi.
“Komitmen Kumpulan YS terhadap pembangunan pendidikan di Sabah dapat dilihat
apabila dana untuk pendidikan meningkat sebanyak 86.38% kepada RM67.17 juta pada
tahun 2024 berbanding RM36.04 juta pada tahun 2021. Ini membolehkan seramai 3,234
orang pelajar mendapat manfaat tajaan pendidikan Kumpulan YS pada tahun 2024”,
tegasnya.
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri menerusi Kumpulan YS juga menyediakan prasarana
pendidikan melalui Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) dan University College
Sabah Foundation (UCSF) yang memberi manfaat peluang pengajian pendidikan
kepada ribuan anak Sabah sejak ditubuhkan.
Menurutnya, usaha sama antara badan-badan penaja di negeri ini juga dipergiatkan
melalui Portal Pendidikan Negeri Sabah (PTPS) yang dilancarnya tahun lalu, bagi
memudahkan anak-anak Sabah memohon tajaan pendidikan, yang turut melibatkan
badan penaja lain seperti Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Perbadanan Baitulmal
Negeri Sabah (PBNS) dan Yayasan Kebajikan Sabah (YKS).
Katanya, dalam aspek modal insan dibawah Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah
Maju Jaya (SMJ), antara inisiatif yang diperkenalkan kerajaan ialah Felo SMJ dan
Dewan Belia Sabah yang bermatlamat memperkasakan bakat dan keupayaan anak
muda Sabah, disamping mengetengahkan kepimpinan baharu di negeri ini.
“Kerajaan Negeri juga menyediakan pelbagai platform untuk pelajar menyuarakan
pandangan, antaranya Majlis Perundingan Pelajar Sabah (MPPS) yang sehingga kini
berjaya mengumpulkan pemimpin-pemimpin pelajar Sabah dari seluruh IPT Awam dan
Swasta, Institut Pendidikan Guru (IPG), Institut Latihan termasuk tingkatan enam.
Kerajaan juga menubuhkan Sekretariat Mahasiswa Sabah Malaysia (SEMESTA)
sebagai pengiktirafan kepada anak-anak muda”, tegasnya.
Beliau berkata, pelbagai inisiatif yang diperkenalkan dan dilaksanakan itu menunjukkan
betapa Kerajaan Negeri prihatin dan peka terhadap keperluan anak-anak Sabah demi
memastikan mereka sentiasa terbela.
“Kepada anak-anak semua sampaikan salam takzim saya kepada ibu-bapa
kalian.Insya-Allah kebajikan pelajar Sabah akan sentiasa diberikan keutamaan oleh
kepimpinan negeri, dalam kita melangkah maju ke hadapan mencapai aspirasi Sabah
Maju Jaya”, katanya yang turut mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri,
Maaf Zahir dan Batin kepada semua mahasiswa-mahasiswi Sabah.