PENAMPANG: Sebanyak 28 buah sekolah rendah, menengah, dan sekolah pendidikan khas di kawasan Penampang telah menerima bantuan berjumlah RM230,000 daripada Yayasan Bank Rakyat (YBR).

Majlis penyampaian bantuan tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, di Dewan Sekolah SK St. Theresa Inobong hari ini.

Ewon menyatakan bahawa daripada 28 buah sekolah yang menerima bantuan itu, terdapat empat sekolah menengah dan 24 sekolah rendah dalam kawasan Parlimen Penampang.

“Setiap sekolah menengah menerima bantuan sebanyak RM10,000, manakala sekolah rendah menerima RM5,000 setiap satu. Selain itu, dua sekolah menengah dan lima sekolah rendah yang melaksanakan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) juga akan menerima tambahan bantuan sebanyak RM10,000 setiap sekolah,” jelasnya.

“Pemberian bantuan ini adalah komitmen saya dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), khususnya Bank Rakyat dan Yayasan Bank Rakyat, dalam menggerakkan program pembangunan pendidikan di kawasan ini,” tambah Ewon.

Beliau, yang juga merupakan Ahli Parlimen Penampang, turut meluluskan peruntukan sebanyak RM50,000 di bawah peruntukan Ahli Parlimen untuk SK St. Theresa Inobong bagi memenuhi keperluan kelengkapan di sekolah seperti yang dipohon oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan, Jannie Lasimbang; Pengerusi YBR, Datuk Philip Lasimbang; Pengerusi Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC), Datuk Donald Peter Mojuntin; Presiden Majlis Perbandaran Penampang, Francis Chong; Pegawai Pendidikan Penampang, Rusmadi Ahmad; dan Ketua Eksekutif YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani.-pr/BNN

SHARE
Previous articleKM tinjau tanah runtuh