KOTA KINABALU:  Kerajaan Negeri Sabah mengalu-alukan pelabur global dan perintis industri untuk menerokai potensi besar tenaga boleh diperbaharui di negeri ini. Dengan visi menjadikan Sabah sebagai hab tenaga hijau serantau, kerajaan negeri komited membangunkan projek tenaga bersih termasuk tenaga solar, hidroelektrik, angin, dan geotermal. Inisiatif ini bukan sahaja memastikan sumber tenaga mampan, tetapi juga membuka peluang pekerjaan bernilai tinggi serta memacu pertumbuhan industri hijau di Sabah.
Penasihat Teknikal (Tenaga) kepada  Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr. James Lim, menegaskan komitmen ini semasa menerima kunjungan hormat delegasi Syarikat B.Grimm Power dari Thailand pada Rabu. Delegasi yang diketuai oleh Ketua Pembangunan Perniagaan Antarabangsa Encik Khawar Khan hadir bagi membincangkan peluang pelaburan dalam sektor tenaga di Sabah.
Menurut Datuk Dr. James, YAB Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, amat komited terhadap agenda tenaga hijau ini. Beliau sebelum ini menyatakan:
“Sabah bukan sekadar melabur dalam tenaga boleh diperbaharui, tetapi kami sedang membina masa depan di mana tenaga bersih menjadi pemacu utama transformasi ekonomi. Kami mengalu-alukan rakan strategik global untuk bersama-sama mencipta peluang pekerjaan bagi rakyat Sabah, mengurangkan pelepasan karbon, serta menjadikan Sabah destinasi utama industri hijau.”
Datuk Dr. James turut menjelaskan bahawa Sabah memiliki kelebihan strategik sebagai destinasi utama pelaburan tenaga boleh diperbaharui di rantau ini, dengan lebih 2,500 jam cahaya matahari tahunan, sistem sungai yang kukuh untuk kuasa hidro, serta potensi besar tenaga angin dan geotermal. Kerajaan negeri berhasrat membangunkan taman industri hijau bagi menarik lebih banyak pelaburan domestik dan asing.
Mengenai minat B.Grimm Power untuk melabur di Sabah, Datuk Dr. James menegaskan bahawa kerajaan negeri bersedia membantu dan memudahkan rundingan antara syarikat tersebut dengan pihak berkuasa serta agensi berkaitan.
“Kami mengalu-alukan komitmen B.Grimm Power, sebuah syarikat berpengalaman luas dalam tenaga lestari di ASEAN. Pelaburan mereka bukan sahaja akan mempercepatkan transformasi tenaga di Sabah ke arah lebih cekap dan mesra alam, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi hijau yang mampan serta keselamatan tenaga Sabah,” tambah beliau.
Beliau turut menekankan bahawa inisiatif ini akan membuka lebih banyak peluang pelaburan berkualiti tinggi dan mewujudkan ribuan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dalam bidang teknikal, kejuruteraan, dan pengurusan untuk generasi muda Sabah.
Bekalan serta keselamatan tenaga yang stabil dan kos efektif juga dijangka menarik syarikat multinasional untuk menjadikan Sabah sebagai hab perindustrian dan perkhidmatan utama di Borneo.
B.Grimm Power, iaitu syarikat konglomerat berusia 147 tahun yang berpangkalan di Thailand, terkenal dengan prinsip ‘Doing Business With Compassion’ dan kepakarannya dalam pembangunan tenaga bersih di pelbagai negara termasuk Vietnam, Laos, Kemboja, Korea, Jepun, dan Amerika Syarikat.  B.Grimm Power juga merupakan syarikat pertama di ASEAN yang membangunkan loji janakuasa yang bersedia untuk teknologi hidrogen.
Pelaburan mereka di Sabah dijangka melibatkan penjanaan kuasa berskala besar, sistem penyimpanan tenaga, serta penyelidikan dalam teknologi hijau terkini.
Kerajaan Negeri Sabah yakin bahawa kerjasama ini akan membawa manfaat jangka panjang kepada rakyat dan ekonomi negeri, sekali gus menjadikan Sabah sebagai peneraju dalam sektor tenaga di rantau ini.-pr/BNN