KOTA BELUD:  Prihatin kepada mereka yang kurang bernasib baik, Yayasan Bank Rakyat (YBR) telah menganjurkan Program Pemberian Bakul Makanan Kepada Keluarga Asnaf serta bantuan tunai kepada masjid dan surau di sekitar Kadamaian dalam usaha menyantuni golongan asnaf disamping mengeratkan silaturrahim.

Sejumlah RM80,250 telah diperuntukan bagi bantuan bakul makan kepada 535
penerima asnaf. Selain itu, sebanyak RM24,000 telah diperuntukkan kepada 24 buah
masjid dan surau bagi membantu pengurusan pelaksanaan program keagamaan.

Majlis penyerahan bantuan ini telah disempurnakan oleh Menteri Pembangunan
Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick. Turut hadir dalam sesi
penyampaian ini adalah Ketua Pegawai Eksekutif YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani; Ketua Bahagian Operasi YBR, Mohd Mukhti Abd Rahman dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Encik Mohamad Ghazali Zainal Abidin.

Sementara itu Ewon berkata,“Kesudian pihak YBR dalam menyantuni mereka yang
kurang bernasib baik sememangnya patut dipuji dan diharapkan bantuan yang diagihkan dapat memberi sinar kegembiraan di bulan Ramadan serta sebagai persiapan dalam menyambut Aidilfitri yang bakal menjelang”.

“Saya amat menyokong inisiatif seperti ini dilaksanakan dan berharap ia sedikit
sebanyak dapat merapatkan lagi ukhuwah dan silaturrahim di antara organisasi luar
dengan masyarakat setempat,” katanya di Masjid Kampung Tambulion Sorob,
Kadamaian, Kota Belud.
Sentiasa peka kepada mereka yang memerlukan, Syaiful Rizal menegaskan bantuan
yang diberikan kepada 535 keluarga asnaf ini dapat memberi sedikit kelegaan serta
membantu mereka yang beragama Islam dalam menghayati keberkatan, kepentingan,
tuntutan dan cabaran beramal sepanjang bulan Ramadan.

“YBR amat menitikberatkan golongan yang memerlukan bantuan terutama anak yatim,
asnaf dan gelandangan yang kurang mendapat perhatian daripada masyarakat luar”.
Tambah beliau lagi, YBR turut memberi bantuan kepada masjid dan surau di sekitar
bagi mengimarahkan lagi aktiviti-aktiviti masjid di seperti menganjurkan pelbagai program kemasyarakatan, pendidikan, dan keagamaan seperti kelas mengaji, ceramah serta aktiviti belia.

Pada tahun 2024, YBR membelanjakan sebanyak RM3,395,810 bagi membantu mereka yang kurang bernasib baik yang bertujuan untuk meningkatkan kesejahteraan sosio-ekonomi penerima melalui pembangunan pendidikan serta pemerkasaan masyarakat.-pr/BNN