KOTA KINABALU: Naib Presiden Parti Liberal Democratic (LDP), Jin Tze Vun, mengumumkan peletakan jawatannya dan mengundur diri daripada parti, berkuatkuasa serta-merta.
Dalam satu kenyataan di sini, Jin berkata keputusan itu bukan dibuat secara tergesa-gesa, sebaliknya diambil setelah membuat pertimbangan yang mendalam.
“Dengan perasaan yang bercampur baur, saya secara rasmi mengumumkan peletakan semua jawatan dalam LDP serta pengunduran diri saya sebagai ahli parti.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada parti atas kepercayaan, bimbingan dan sokongan yang diberikan kepada saya sepanjang 15 tahun ini.
“Saya juga berterima kasih kepada semua pemimpin dan rakan seperjuangan yang telah bekerjasama dan memberikan sokongan sepanjang perjalanan politik saya,” katanya.
Turut bersama-sama beliau mengumumkan keputusan meninggalkan LDP seramai 16 pemimpin dan ahli bahagian Petagas.
Mengulas lanjut, Jin yang juga Ketua LDP Bahagian Petagas berkata parti itu bukan sekadar tempatnya memulakan kerjaya politik, tetapi juga medan yang telah membentuk dirinya menjadi pemimpin.
Katanya, pengalaman itu sangat berharga dan akan dikenang selama-lamanya.
Mengenai sebab pengunduran, beliau berkata: “Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, saya semakin merasakan bahawa cara parti beroperasi semakin jauh daripada prinsip politik yang saya perjuangkan.”
Beliau mendakwa budaya kerja parti telah berubah secara seperti di Bahagian Klias, di mana masalah di peringkat akar umbi semakin meruncing, tetapi tidak mendapat penyelesaian sewajarnya.
Beliau mendakwa suara rakyat diketepikan, manakala tindakan sebenar digantikan dengan mesyuarat-mesyuarat formal yang tidak membawa hasil.
“Lebih mengecewakan, apabila isu-isu ini dibangkitkan, kepimpinan pusat memilih untuk mendiamkan diri dan tidak mengambil langkah pembetulan yang diperlukan.
“Saya percaya bahawa politik seharusnya menjadi platform membawa perubahan positif kepada masyarakat, bukan sekadar medan pergelutan dalaman yang tidak berkesudahan.
“Saya tidak dapat menerima cara parti dikendalikan pada ketika ini, dan saya tidak mahu semangat perjuangan saya terus terhakis dalam sistem yang semakin tidak produktif ini,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, beliau mengambil keputusan berundur dan berpegang teguh pada prinsipnya.
Jin juga berkata pengundurannya daripada LDP tidak bermakna akan berhenti berkhidmat untuk masyarakat.
Sebaliknya, beliau akan terus berusaha menyumbang kepada rakyat dengan cara yang lebih bebas, kerana khidmat yang sebenar tidak bergantung kepada jawatan dalam politik, tetapi melalui tindakan yang nyata.
“Saya berharap kepimpinan LDP melakukan refleksi mendalam, berani menghadapi realiti, dan mengambil langkah pembaharuan sewajarnya.
“Hanya dengan reformasi yang menyeluruh, parti ini dapat kembali meraih kepercayaan rakyat,” katanya.
Beliau juga menjelaskan bahawa proses pembatalan keahlian dan penyerahan tugas akan diuruskannya mengikut peraturan parti. -pr/BNN