KOTA KINABALU: Sabah Fish Marketing Sdn. Bhd. (SAFMA), sebuah syarikat milik penuh Kerajaan Negeri Sabah di bawah Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI), kini giat melaksanakan inisiatif baharu bagi meneroka pasaran eksport dalam usaha memperluas jaringan pemasaran produk perikanan Sabah ke peringkat antarabangsa.
Pengerusi SAFMA, Datuk Mohammad Mohamarin, berkata langkah itu sejajar dengan hasrat kerajaan negeri untuk memacu pertumbuhan ekonomi berasaskan sumber semula jadi negeri, khususnya dalam sektor perikanan yang mempunyai potensi besar di pasaran global.
“Kita mempunyai sumber laut yang kaya dan berkualiti tinggi. Sudah tiba masanya Sabah bukan hanya menjadi pengeluar, tetapi juga pemain utama dalam rantaian bekalan perikanan global.
“Inisiatif ini akan membuka peluang pasaran baharu terutamanya ke negara-negara seperti Jepun, China, dan negara Timur Tengah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, SAFMA kini sedang menjalinkan kerjasama strategik dengan agensi promosi perdagangan, syarikat logistik dan pemain industri eksport makanan laut bagi memastikan piawaian produk menepati keperluan pasaran antarabangsa.
Antara fokus utama inisiatif tersebut menurut beliau termasuk, peningkatan kapasiti pemprosesan dan pembungkusan mengikut standard eksport, pensijilan halal dan keselamatan makanan, serta penubuhan hab eksport di beberapa lokasi strategik di Sabah
Mohammad turut menekankan bahawa pendekatan tersebut akan memberi manfaat secara langsung kepada para nelayan dan usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) perikanan tempatan.
“Apabila nilai tambah meningkat melalui eksport, pendapatan para nelayan dan pemain industri tempatan juga akan meningkat. Ini satu langkah penting ke arah mewujudkan ekosistem perikanan yang mampan dan berdaya saing,” ujarnya.
SAFMA menurut Mohammad optimis bahawa inisiatif itu akan memperkukuh kedudukan Sabah sebagai hab makanan laut berkualiti tinggi di rantau ini dan sekaligus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri secara keseluruhan.-pr/BNN