- Bermula Bulan Ramadhan, hinggalah masuknya Bulan Syawal, saya melihat jadual dan pergerakan YAB DSP Hajiji Hj Noor selaku Ketua Menteri dan Ketua Parti, amat padat dan dipenuhi dengan aktiviti yang bermanfaat untuk Sabah & rakyat jelata.
- Dalam kesibukan beliau menjalankan tugasan rasminya, Pemimpin-pemimpin Pembangkang dan Haters terus-menerus menghalakan serangan bertali-arus terhadap beliau. Amat menyedihkan kerana kedua-dua bulan ini sepatutnya menjadi medan atau gedung untuk membentuk keperibadian kita yang syumul, kamil dan membugarkan tali ukhuwah sesama kita!
- Dengan serangan tanpa henti ini, saya menafsirkan Pembangkang sebenarnya semakin kepanasan, atau penasaran dengan gerakerja YAB DSP Hajiji yang semakin terlaksana, teratur, mengikut perancangan dan lebih penting dapat menyantuni serta disambut baik oleh rakyat jelata. Situasi antara tindakan Pembangkang/Haters dengan gerakerja yang dijalankan berterusan oleh DSP Hajiji, jelas memberikan dua gambaran warna sisi yang berbeza, iaitu Hitam dan Putih.
- Hitam merujuk kepada tingkahlaku buruk dan terlalu kebudak-budakan Pembangkang dan Haters terhadap DSP Hajiji! Sehinggakan perkara remeh iaitu kebolehan berbahasa Inggeris pun ingin dijadikan bahan untuk membandingkan Hajiji dengan Pemimpin kebanggaan mereka! Walhal, sudah berapa ramai pemimpin-pemimpin luar negara melakukan Kunjungan Hormat terhadap Ketua Menteri kita ini, tiada satupun yang mengadu mengalami kesukaran memahami komunikasi yang DSP Hajiji gunakan dalam Bahasa Inggeris! Nampak terlalu murah cara Pembangkang dan Haters DSP Hajiji ingin menjatuhkannya!
- Berapa banyak negara yang lebih maju dari kita pun para pemimpinnya tidak pun menggunakan Bahasa Inggeris sebagai perantara malah terpaksa menggunakan Penterjemah apabila berkomunikasi dengan pemimpin lain. Namun, DSP Hajiji tidak perlu Penterjemah pun apabila berjumpa dan berurusan dengan pemimpin-pemimpin luar negara! Hakikatnya, pemimpin seperti Jepun dan China umpamanya bangga dengan bahasa ibunda mereka! Persoalannya, apa yang ingin kita banggakan dengan penggunaan bahasa Inggeris? Sedangkan Bahasa kita Melayu pun pernah menjadi Bahasa Lingua-Franca suatu ketika dahulu!
- Dalam isu yang lain, ada pula individu berpangkat Pengarah Komunikasi dan Strategi UMNO mencuba nasib menjatuhkan kredibiliti DSP Hajiji dengan membongkar isu kelulusan PL syarikat Lincah Hebat Utama Sdn Bhd (LHUSB) yang beliau dakwa tidak memiliki kemampuan untuk menjalankan aktiviti eksplorasi galian. Untuk menyedapkan ceritanya, dikaitkanlah (tanpa menyebut nama ahli politik berkenaan) kononnya syarikat ini mempunyai kaitan dengan tokoh politik dalam GRS! Mungkin beliau sebelum membuat kenyataan meniru aksi Nujum Pak Belalang, hanya menggunakan mangkuk putih dan memaksa rakyat mempercayainya! Kalau tidak percaya, pendek umur! Saya tertanya-tanya, dari sumber mana beliau memperolehi maklumat bahawa syarikat ini tiada kemampuan? Lagipun permohonan syarikat ini sudah lama dikemukakan semenjak tahun 2019 lagi era pentadbiran Warisan! Apa yang jelas, amatlah ketara Datu Rosman selaku Pengarah Komunikasi dan Strategi UMNO ini kurang pengalaman dalam pentadbiran, penelitian dan kajian sebelum membuat apa-apa kenyataan rasmi mewakili partinya. Paling penting pada beliau di akhir kenyataannya selalu ada tertera frasa “..kalau anak jantan” dan “jangan lawan arus”! Tidak lebih sekadar menunjukkan beliau petah dan berani berkata-kata.
- Untuk makluman Sdra Rosman, YAB DSP Hajiji selaku Pengerusi Lembaga Pengarah SMM tidak akan melakukan perkara bertentangan dengan Peruntukan Undang-undang berkaitan kuasa-kuasa melulus apatah lagi melibatkan kepentingan negeri dan dana awam. Beliau tidak akan menggunakan kuasanya selaku Ketua Menteri atau Pengerusi untuk memberikan kelulusan secara membuta tuli. Semua keputusan dibuat berdasarkan suara majoriti Ahli Lembaga Pengarah SMM. Malahan, sebelum sesuatu perkara seperti kelulusan lesen itu diangkat ke Mesyuarat ALP, satu jawatankuasa teknikal akan menilai terlebih dahulu keseluruhan maklumat syarikat pemohon termasuklah kemampuan untuk menjalankan kerja-kerja eksplorasi berkenaan. Selain itu, apa yang Sdra Rosman dan pembangkang risaukan dengan kelulusan ini, satu sen dana awam atau Kerajaan tidak digunakan! Malahan syarikat pemohon (LHUSB) bertanggungjawab penuh mengeluarkan dana sendiri untuk memulakan kerja berkenaan! Itu baru eksplorasi, kalau ada, adalah… kalau tiada, tiadalah! Di samping itu, kelulusan luas area yang dibenarkan untuk aktiviti juga telah dikurangkan kepada 43,490 ekar sahaja berbanding yang dipohon seluas 153,205 ekar!
- Adakah pembaca dapat melihat ketelusan YAB DSP Hajiji dalam kes ini? Meskipun permohonan sejak 31 Januari 2019 pada zaman Warisan memerintah dan yang turut menimbulkan isu ini juga para pemimpin Warisan yang tidak usul periksa dahulu siapa di belakang Syarikat ini, namun YAB DSP Hajiji dan ALP SMM membuat keputusan berdasarkan kepada laporan terperinci Jawatankuasa Teknikal SMM. Dengan kata lain, keputusan bukanlah bersandarkan pada emosi kebencian, tetapi bersifat objektif, telus dan sistematik iaitu dengan meneliti syor dari sudut teknikal, maka tiadalah halangan untuk memberikan kelulusan kerja eksplorasi! Inilah yang dinamakan sebagai semangat slogan SABAHFIRST dalam Halatuju SMJ! Bermakna, tindakan hendaklah memberikan keutamaan kepada kepentingan Sabah, dan keputusan sebulat suara Ahli Lembaga Pengarah SMM. Saya nasihatkan, lain kali, sebelum mempersoalkan tahap ketelusan dan integriti DSP Hajiji, Sdra Rosman dan para pemimpin Warisan serta Haters yang dimuliakan, belajarlah sikit-sikit SOP dan buat kajian.
- Lagipun, tidak perlulah balik-balik serangan yang sama iaitu menimbulkan keraguan rakyat terhadap ketelusan dan tahap integriti DSP Hajiji. Beliau sudah lebih 35 tahun dalam kancah politik dan selama 20 tahun beliau memegang pelbagai portfolio penting dalam Kabinet Sabah, yang pasti belum pernah beliau dibicarakan dengan kes salah-laku rasuah! Melainkan kebelakangan ini banyaklah cerita dan naratif negatif yang dibuat-buat oleh Pembangkang sahaja! Jika para pemimpin pembangkang dan Haters ingin menyentuh bab integriti DSP Hajiji, kena lebih berhati-hati dikhuatiri nanti tempias ludah kena ke muka kamu sendiri! Harap faham!
- Isu terakhir yang ingin saya jelaskan ialah berkenaan perlantikan GGM SEDCO. Saya telah menulis dengan panjang lebar berkenaan hal ini, dan meneliti asal-usul serta sebarang peruntukan undang-undang berkenaan penubuhan SEDCO & kaedah-kaedah perlantikan jawatan utama GLC tersebut. Jelasnya, memang tiada satu Frasa atau Ayat secara khusus yang menjadikan Sedco dan Jawatan Utamanya (General Group Manager) sebagai hak eksklusif bumiputra Sabah! Tujuan utama penubuhan SEDCO adalah untuk membantu Kerajaan Negeri Sabah merancang, melaksana dan merancakkan aktiviti ekonomi Sabah dan dalam masa yang sama, bertanggungjawab membantu meningkatkan sosio-ekonomi Bumiputra Sabah, bukannya menetapkan jawatan GGM itu hanya boleh dilantik dari kalangan Bumiputra Sabah! Jika ingin melihat contoh penubuhan agensi atau badan khusus untuk Bumiputra kita boleh merujuk kepada MARA. Organisasi seperti MARA sememangnya ditubuhkan khusus untuk kaum Bumiputra di Malaysia.
- Pada saya secara peribadi, keputusan YAB DSP Hajiji & Pengerusi SEDCO YB Datuk Rubin Balang melantik Datuk Ar James Wong sebagai GGM baharu bukanlah bermaksud membelakangkan kaum bumiputra Sabah. Melainkan, hanyalah ingin melihat SEDCO dapat dioperasikan oleh seseorang yang memiliki merit, latar belakang korporat yang terbukti kemampuannya, tahap kompetensi yang tinggi dalam menjadikan SEDCO sebagai salah satu GLC yang terulung menyumbang ekonomi Sabah termasuklah membangunkan sosio-ekonomi bumiputra Sabah. Selaku orang korporat, saya yakin Datuk Ar. James Wong tahu apa sasaran prestasi kerja yang beliau perlu capai (KPI), tanggungjawab beliau untuk SEDCO, dan golongan Bumiputra di Sabah meskipun beliau adalah seorang warga Sabah berketurunan Cina! Melainkan beliau bukan anakjati Sabah, mungkin keputusan itu boleh dipertikaikan. Justeru itu, perkara jelas begini, janganlah dipertikaikan hingga memburukkan kestabilan sosial dan boleh menyebabkan menyalanya api kemarahan dalam kalangan kaum bumiputra Sabah! Sepatutnya, sama-samalah kita nilai kemampuan dan kepakaran GGM baharu ini, belajar tentang resepi beliau memimpin barisan eksekutif SEDCO hingga institusi ini maju sepanjang beliau menggalas tanggungjawab ini!
SERANGAN PEMBANGKANG BERBALIK SEPERTI BOOMERANG
- Saya perhatikan, kebanyakan perkara-perkara yang dijadikan senjata dan peluru oleh Pembangkang dan Haters DSP Hajiji dan GRS ini, bukanlah suatu yang berkualiti dan mampu membangunkan Sabah dan rakyatnya! Saya risau, jika mereka meraih kemenangan pada PRN-17 dengan berasaskan isu dan skandal yang dibuat-buat akibat dari kurangnya ilmu, pengetahuan dan pengalaman tadbirurus Negeri Sabah, kita akan bakal melihat kerosakan negeri kita sendiri lantaran keputusan yang berlandaskan emosi rakyat yang dibuai semata-mata!
- Mengapa saya katakan kurang ilmu, pengetahuan dan pengalaman dalam tadbirurus?? Ini kerana, perkara asas dalam pentadbiran kerajaan seperti berkaitan memanjangkan permohonan menerusi Nota Bidai dan Surat Pemakluman pun dianggap kelulusan! Mungkin mereka tahu, tetapi beranggapan rakyat bodoh dan mudah diperbodohkan oleh mereka! Dengan kuasa viral yang disalahgunakan demi untuk mencapai agenda politik mereka, mereka sebenarnya langsung tidak mempedulikan untung nasib Sabah, rakyat dan generasi akan datang! Ikhlasnya, Saya amat bersimpati pada rakyat yang memang tidak bekerja dalam Sektor Awam yang mungkin boleh salah faham dengan tindakan pembangkang yang tidak bertanggungjawab ini! Mereka sebenarnya menganggap rakyat Sabah masih bodoh dan katak bawah tempurung!
- Sepatutnya mereka perlu berkongsi dengan rakyat tentang apakah halatuju mereka sebagai parti yang mereka dakwa meyakinkan, berkebolehan dan berpengalaman dalam memimpin negeri Sabah. Sehingga sekarang belum ada! Mengapa?? Ini disebabkan oleh rancangan dan perlaksanaan program/projek yang sudah ditentukan dalam Halatuju SMJ berjalan dengan jayanya dan buat pertama kalinya dinikmati oleh rakyat! Contohnya, Rumah Sejahtera SMJ, bantuan RM300 kepada KIR selama setahun dan bermacam-macam lagi diberikan untuk rakyat. Terlalu sukar untuk mereka nafikan!
- Bagaimana DSP Hajiji dan Kerajaan GRS mampu menyediakan semua ini kepada rakyat? Beliau dan para pemimpin GRS belajar dari pengalaman! YAB DSP Hajiji bukanlah pemimpin politik yang lahir di meja Kerajaan di awal-awal penglibatan karier politik beliau! Dengan merasai sendiri keperitan lantaran tiada kestabilan politik, perpaduan dan persefahaman, akibatnya negeri kita sukar dimajukan.
- Apabila beliau menjadi pemimpin Kerajaan (dalam era UMNO), beliau belajar tentang erti kuasa politik yang bebas walaupun tidak mutlak untuk memimpin Negeri sendiri. Memang tidak dinafikan ada sedikit kemajuan ketika era Barisan Nasional (BN), namun kebanyakan keputusan penting tidak dapat dibuat lantaran keterikatan dengan dasar parti pemerintah yang berpusat di Semenanjung Malaysia. Demikian juga era pemerintahan Perikatan Nasional di Sabah. Banyak keputusan perlu mendapat restu dari Pusat menjadikan kita ibarat “lembu dicucuk hidung”!
- Mengambil tauladan dari pengalaman-pengalaman itu, YAB DSP Hajiji kemudiannya mengilhamkan satu gabungan politik Sabahan iaitu Gabungan Rakyat Sabah. Bermakna, parti ini bukanlah hanya pemimpin semata-mata, tetapi memartabatkan rakyat sebagai penentu kepada halatuju politik Sabah melalui parti tempatan yang mewakili mereka. Antara langkah awal beliau ialah menghidupkan semula cogankata yang sudah lama tertera di Jata Negeri Sabah, iaitu Sabah Maju Jaya (SMJ) sebagai wawasan, gagasan dan halatuju rakyat Sabah agar Sabah terus Maju, Makmur dan Sejahtera.
- Oleh itu, saya ingin bertanya kepada rakan-rakan FB dan semua rakyat Sabah yang membaca artikel saya ini, apakah hasrat baik YAB DSP Hajiji dan para pemimpin GRS ini patut kita tolak? Sedangkan ianya tiada lain hanya untuk menjadikan Sabah dan rakyatnya maju, bermaruah dan sejahtera??? Saya yakin, kerana niat suci di samping kebolehan memimpin dan komitmen yang padu, tambahan pula sememangnya halatuju SMJ yang jelas, tadbirurus yang baik hingga menjadikan hasil negeri sentiasa meningkat saban tahun, rakyat kini mula menikmati hasilnya! Inilah yang saya katakan sebagai warna Sisi Putih yang dimiliki oleh YAB DSP Hajiji dan para pemimpin GRS!
- Pendek kata, YAB DSP Hajiji Hj Noor dan barisan kepimpinan negeri terus fokus, komited dan bersungguh-sungguh merealisasikan aspirasi rakyat, dan membuktikan bahawa Parti Tempatan yang memerintah Sabah ketika ini mampu memberikan yang terbaik untuk rakyat Sabah!!! Berbekalkan tekad dan semangat “Rumah Kita, Kita Jaga”, Sabah kini dilayani dan dihormati oleh Kerajaan Persekutuan. Perjuangan MA63 contohnya, banyak yang telah ditunaikan.
- Bukankah inilah hajat yang rakyat Sabah inginkan selama ini??? Jika benar inilah kehendak rakyat Sabah, maka apa sahaja serangan dari pembangkang dan Haters hendaklah ditapis dan ditepis! Cuma apa yang menariknya, setakat ini setiap serangan yang ditujukan kepada YAB DSP Hajiji dan GRS, hanya akan berbalik dan menikam mereka sendiri sahaja! Ini menjadikan YAB DSP Hajiji dan GRS semakin kukuh di hati rakyat Sabah! Percayalah, pembangkang yang ada hari ini tidak boleh memimpin Sabah. Dibimbangi, ibarat tikus membaiki labu! Jika berlaku demikian, bermakna Sabah dan rakyatnya sudah dua kali dipatuk ular yang sama! Rosak negeri kita!
Rakyat sabah… belajarlah dari pengalaman!
Justeru itu, sebagai rakyat yang bijak, teruskan menyokong grs untuk kesinambungan projek kesejahteraan negeri dan rakyat Sabah!
Jangan termakan racun pembangkang, jaga perpaduan kita! Berikan mandat kepada parti tempatan! Hidup grs!!!
Selamat Hari Raya, Maaf Zahir & Batin!
Kenyataan Media
Aksyah Haji Nasrah
Mantan Timbalan Badan Perhubungan Negeri (BPN)
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU)/ Perikatan Nasional (PN) Sabah