KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang, Dato Sri Ghulam Haidar Khan Bahadar, mengalu-alukan langkah proaktif kerajaan memperkasa modal insan melalui pendidikan dan latihan di negeri ini.
Berucap membahas Ucapan Dasar Kerajaan di DUN Sabah hari ini, beliau berkata usaha itu seiring dengan teras utama agenda Hala Tuju Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).
Katanya, pelaburan dalam pembangunan modal insan, khususnya melalui pendidikan dan kemahiran, merupakan langkah strategik ke arah melahirkan modal insan berkualiti, kompetan dan berdaya saing.
Ghulam yang juga Pengarah Yayasan Sabah menjelaskan bahawa Kumpulan Yayasan Sabah turut memainkan peranan sangat siginfikan dan menjadi peneraju dalam segmen pembangunan modal insan.
Katanya, Kumpulan Yayasan Sabah menerajui penubuhan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) yang menyediakan dana pendidikan kepada anak-anak tempatan.
Beliau berkata dianggarkan kira-kira 8,000 anak Sabah yang melanjutkan pelajaran di dalam dan luar negara telah dibantu di bawah TPNS pada tahun lalu membabitkan peruntukan sebanyak RM8 juta.
“Manakala pada tahun ini TPNS menyasarkan untuk membantu lebih 10,000 penerima golongan B40, termasuk mereka yang melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, sampai ke peringkat Sarjana Muda dan Doktor Falsafah,” katanya.
Selain TPNS, katanya, Kumpulan Yayasan Sabah turut membangunkan modal insan menerusi dua institusi pendidikan yang diwujudkan, iaitu Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) dan University College Sabah Foundation (UCSF).
Katanya, kedua-dua institusi itu menjadi platform bagi anak-anak tempatan negeri Sabah untuk menimba ilmu dan menjadi insan gemilang.
“UCSF menawarkan pelbagai program akademik dan kemahiran yang relevan kepada kemajuan sosioekonomi dan budaya Sabah serta Malaysia,” katanya.
Sebanyak 14 program ditawarkan di bawah empat fakulti; Fakulti Pengurusan dan Keusahawanan, Fakulti Seni dan Multimedia Kreatif, Fakulti Sains dan Kelestarian Semula Jadi dan Fakulti Pembangunan dan Pengajian Kepelbagaian Budaya.
Ia juga turut disokong oleh Pusat Kajian Pembangunan (CDS), Institut Kajian Borneo (IBS), Pusat Pembangunan Bahasa dan Generik (CLGD), Kilang Pengajaran dan Pembelajaran dan Galeri Inspirasi Seni Alam (NIAG).
“Sejak ditubuhkan 10 tahun lalu, UCSF telah memberi manfaat kepada lebih 3,000 anak-anak Sabah.
“Jumlah ini meningkat kepada lebih 1,000 pelajar aktif pada tahun 2024 bagi kursus ijazah, diploma dan sijil seterusnya menjadikannya jumlah tertinggi sejak penubuhannya.
“Paling menarik, UCSF juga telah berjaya mencapai kategori Kompetitif dalam Sistem Penarafan Bersepadu Institusi Pengajian Tinggi Malaysia (SETARA),” katanya.
Manakala KTYS ditubuhkan dengan objektif untuk menyediakan akses pendidikan berteraskan akademik dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berkualiti tinggi, melahirkan graduan inklusif serta berketerampilan dan membentuk sistem tadbir urus yang berkualiti, cekap dan berintegriti.
“Bagi mencapai objektif tersebut, perkongsian pintar dengan pakar industri yang berkaitan, institusi pendidikan dan latihan diwujudkan,” katanya.
Ghulam berkata menerusi kempen `KTYS Pilihanku’, KTYS mencatat enrolmen 1,366 orang pelajar baharu, iaitu melebihi sasaran 1,345 orang pelajar baharu pada tahun 2024.
“Ini menunjukkan peningkatan dalam kemasukan dan komitmen terhadap pendidikan berkualiti di Sabah,” katanya.
Pada tahun 2024 juga, KTYS mencapai 98 peratus kebolehpasaran graduan melalui kerjasama strategik, termasuk dengan DRB-HICOM University of Automotive Malaysia, yang menawarkan pindahan kredit dan jaminan pekerjaan kepada graduan yang melanjutkan pengajian di sana selepas tamat pengajian di KTYS.
Ghulam turut menyatakan bahawa Kumpulan Yayasan Sabah banyak merintis bermacam inisiatif membangunkan modal insan, termasuk menerusi Pusat Kraftangan Sabah (PKS) di Keningau.
Menurutnya, pusat itu telah menjadi mercu tanda bagi pembangunan industri kraf tangan di negeri ini.
“Inisiatif ini merupakan komitmen berterusan Kumpulan Yayasan Sabah dalam membangunkan masyarakat luar bandar di negeri Sabah.
“Ia menjana pendapatan mereka dalam usaha mengurangkan kadar kemiskinan di negeri ini, selain untuk membangunkan warisan kraf tangan yang mewarnai keindahan dan kepelbagaian etnik di negeri Sabah ini,” katanya.
Mengenai Ucapan Dasar Kerajaan, Ghulam berkata ia menggariskan dengan jelas hala tuju kerajaan membangunkan negeri, memperkasakan ekonomi, dan mensejahterakan rakyat, di ambang Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13).
“Melihat gagasan besar kerajaan ini, kita yakin bahawa negeri Sabah di bawah kepemimpinan Ketua Menteri, boleh menjadi sebuah negeri termaju dan berpendapatan tinggi, dalam tempoh yang tidak lama lagi,” katanya.-pr/BNN