KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima  hajiji  Noor menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Perdana Menteri Malaysia kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang meninggal dunia di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur, pada Isnin malam.

Hajiji dalam kenyataannya turut mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan di tempatkan dalam kalangan orang beriman serta beramal soleh.

Beliau menyifatkan PM kelima sejak tahun 2003 hingga 2009 itu sebagai seorang pemimpin yang banyak berjasa kepada negara ini, dan telah melancarkan lima Koridor Ekonomi Malaysia ketika pemerintahanya termasuk Koridor Pembangunan Sabah atau SDC pada tahun 2008.

“Antara objektif projek SDC ini adalah untuk menjadikan Sabah sebagai pintu masuk untuk perdagangan, pelaburan dan pelancongan, mewujudkan peluang pekerjaan, menjadikan negeri ini lebih celik teknologi dan sebagai negeri yang selesa untuk didiami, harmoni tanpa mengira bangsa dan agama. Projek ini telah memberi banyak manfaat dalam pembangunan negeri.

“Dalam masa sama, Tun Abdullah yang memimpin negara selama enam tahun itu juga adalah seorang pemimpin berjiwa rakyat, peramah dan disenangi ramai,” katanya.-pr/BNN