KOTA KINABALU: Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) tampil membuat lima laporan polis terhadap jentera Parti Warisan Sabah kerana didakwa memfitnah dengan niat jahat terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, serta kerajaan Gabungan Rakyat Sabah-Pakatan Harapan (GRS-PH).
Dalam satu kenyataan Datuk Zulkarnain Mahdar Pengerusi G57 berkata, laporan polis tersebut telah dibuat di Balai Polis Karamunsing Kota Kinabalu pada jam 1.00 tengah hari tadi. Antara kandungan laporan yang dibuat adalah berkaitan dengan sebuah video rakaman suara yang menyerupai Datuk Seri Hajiji, di mana kononnya beliau mengesahkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tidak mengambil tindakan terhadap ahli dewan undangan negeri (ADUN) yang terlibat dalam skandal rasuah mineral Sabah selagi GRS-PH terus bekerjasama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.
“Laporan polis lain yang dibuat termasuk tuduhan bahawa Hajiji telah membeli kondominium berharga RM8 juta, pemberian lesen pembalakan kepada kroni beliau dan mantan ketua menteri Sabah, Musa Aman, serta fitnah yang mendakwa kerajaan GRS-PH telah membeli lapan kenderaan jenis land cruiser dengan harga melebihi pasaran, termasuk nombor pendaftaran kenderaan SMJ yang bernilai hampir RM4 juta,” katanya.
Untuk rekod, G57 kini telah mengumpul hampir 35 bukti berunsur fitnah yang disasarkan terhadap Hajiji dan kerajaan GRS-PH sejak bulan Februari hingga 17 April. G57 bertekad untuk terus membuat laporan polis sehingga semua penyebar fitnah dihadapkan ke mahkamah untuk diambil tindakan yang sewajarnya.
Menurut Zulkarnain, dalam pada itu, G57 juga bercadang untuk membantu menyediakan khidmat guaman secara percuma kepada kerajaan negeri Sabah untuk memfailkan tindakan sivil terhadap penyebar fitnah, khususnya terhadap ahli-ahli dan jentera Parti Warisan Sabah.
G57 amat kesal dengan cara kempen yang dijalankan oleh jentera Parti Warisan Sabah pada ketika ini, sambil menyifatkan rakyat dijangka akan tetap menolak Warisan pada PRN-17 yang akan datang.
Rekod cemerlang Hajiji dalam mentadbir Sabah selama hampir lima tahun, di mana kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencanak naik, dan jumlah pelaburan yang mencecah hampir RM30 bilion dari tahun 2020 hingga 2024 serta pengurangan kadar pengangguran, menjadi penyebab utama beliau diserang dengan fitnah semata-mata untuk melemahkan kepimpinan Hajiji menjelang PRN-17 ini.-pr/BNN