KOTA KINABALU: Pelbagai inisiatif telah diambil oleh Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) bagi pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat Sabah, khususnya dalam sektor tenaga.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, ini termasuklah pelancaran Label Keselamatan ECoS-SIRIM versi terkini.

Beliau menyifatkan inisiatif ini adalah satu langkah proaktif ECoS untuk melindungi
kepentingan pengguna termasuk memastikan hanya peralatan elektrik dan gas yang
selamat serta berkualiti tinggi akan dipasarkan di negeri ini.

Menurutnya, pelancaran label ini juga membawa kepada program penting yang
berkaitan iaitu Memorandum Persefahaman (MoU) diantara ECoS dan Kerajaan
Sarawak menerusi Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) Sarawak.

Katanya, kerjasama strategik ini sangat penting dan menzahirkan pengiktirafan
bersama terhadap keselamatan peralatan elektrik dan gas serta menekankan peranan
ECoS dalam memastikan produk yang digunakan oleh rakyat memenuhi piawaian
tertinggi.

“Ianya juga menunjukkan satu lagi bidang kerjasama untuk manfaat bersama hasil
pertalian erat yang sedia terjalin di antara Sabah dan Sarawak melalui kedua-dua badan
berkuasa pengawalselia masing-masing.

“Saya yakin dengan termetrinya MoU ini, akan memperluaskan pasaran produk-produk
yang berkualiti dan diiktiraf bagi kemudahan pengguna dan peniaga kedua-dua negeri”,
katanya.

Hajiji berkata demikian pada Majlis Pertukaran MoU diantara ECoS dan Kementerian
Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) Sarawak serta Pelancaran Label ECoS/Sirim dan
Pelancaran Program TVET Angkat ECoS sempena Majlis Ramah Mesra Aidilfitri ECoS
di Sabah International Convention Centre (SICC) pada Selasa.

Sehubungan itu beliau mengingatkan orang ramai agar mengutamakan keselamatan
elektrik dan gas serta memberi perhatian serius terhadap isu keselamatan barangan
pengguna terutamanya barangan yang berisiko tinggi.

Katanya, dengan lambakan pelbagai barangan daripada luar negara yang masuk ke negara ini, termasuk Sabah akan memberi faedah kepada pengguna daripada segi kepelbagaian pilihan dan harga yang ditawarkan, namun aspek keselamatan barangan perlu diberi perhatian serius oleh pihak yang berkaitan.

“Sebagai kerajaan, kita komited dan serius dalam memastikan keselamatan dan
kesejahteraan rakyat, saya mahu pihak bertanggungjawab sentiasa berusaha
memperkukuhkan perlindungan pengguna khususnya dalam aspek keselamatan
barangan pengguna.

“Kerajaan negeri menyokong dan amat mengalu-alukan usaha yang diambil oleh ECoS
bersama kerajaan Sarawak dalam aspek keselamatan peralatan elektrik dan gas di
kedua-dua negeri”, tegasnya.

Hajiji optimis, penubuhan ECoS telah membuka lembaran baharu dalam pengurusan
sektor tenaga di Sabah.

Katanya, dengan kuasa pengawalseliaan yang telah dimandatkan melalui lunas
undang-undang, ECoS perlu terus komited untuk memastikan pembangunan sektor
tenaga yang teratur dan cekap, yang akan menyokoung pembangunan ekonomi Sabah
serta memberi manfaat langsung kepada rakyat.

Sementara itu, semasa menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Sabah Energy
Corporation (SEC) di Dewan Sipadan SICC, Hajiji menyaksikan penyerahan bayaran
dividen sebanyak RM18 juta daripada SEC kepada Kerajaan Negeri, sumbangan
sebanyak RM500,000 kepada Yayasan Kebajikan Sabah dan bayaran ZakatPerniagaan 2024 sebanyak RM198,536 kepada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).

Majlis itu turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ir.Shahelmey Yahya,
Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, Pengerusi SEC, Datuk
Annuar Ayub dan Ketua Pegawai Eksekutif SEC, Datuk Adzmir Abd Rahman.-pr/BNN