KIULU: Laluan utama menghubungkan Tamparuli-Kiulu sekali lagi terputus susulan kejadian tanah runtuh akibat hujan lebat berterusan, menjejaskan pergerakan penduduk setempat dan pengguna jalan raya.
Jalan Tamparuli-Kiulu KM2.45 ditutup oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Tuaran disebabkan laluan sementara telah runtuh dan untuk memberi laluan kepada kerja pembaikan.
Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai turun padang pagi ini untuk meninjau sendiri kawasan terjejas dan mendapatkan maklumat terkini berhubung situasi tersebut.
Dalam lawatan tinjauan tersebut, Joniston menggesa JKR agar segera mewujudkan laluan sementara bagi memudahkan pergerakan orang ramai tanpa menjejaskan kerja-kerja pembaikan struktur jalan yang runtuh.
“Saya memahami kesulitan yang dihadapi penduduk kiulu berikutan penutupan jalan laluan ini.
“Saya berharap laluan sementara dapat disiapkan secepat mungkin, demi keselesaan pengguna terutama mereka yang bekerja di luar Kiulu serta murid-murid yang perlu ke sekolah,” katanya.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar itu turut melahirkan kebimbangan terhadap impak insiden ini terhadap sektor pelancongan yang menjadi antara nadi ekonomi masyarakat di Kiulu.
“Kita tidak mahu sektor pelancongan Kiulu terjejas. Laluan ini penting untuk pelancong mengakses kawasan-kawasan eko-pelancongan di sini,” ujar beliau.
Menurutnya, pihak JKR dan kontraktor telah memberi jaminan bahawa mereka akan berusaha sedaya upaya untuk membina laluan sementara secepat mungkin.
Beliau berkata pertemuan berkala bersama Pengarah JKR dan Jurutera Daerah sentiasa diadakan bagi memastikan tindakan susulan terhadap pelbagai isu berkaitan kerosakan jalan sepanjang laluan utama Kiulu dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
“Sementara saya faham cabaran dan kekangan yang dihadapi oleh pihak JKR kerana mereka turut berdepan masalah sama di lokasi lain, saya berharap agar penyelesaian dapat dicapai dalam masa terdekat bagi memastikan keselamatan dan kelancaran pergerakan penduduk Kiulu,” tambah beliau.
Dalam tinjauan hari ini, turut hadir ialah wakil dari Pejabat Daerah Tuaran yang turut meneliti keadaan semasa.
Joniston menegaskan beliau akan terus memantau secara dekat perkembangan kerja-kerja pembaikan jalan serta memastikan semua pihak berkaitan memainkan peranan masing-masing.
Beliau turut memaklumkan bahawa dalam sesi libat urus terbaru bersama pihak JKR Tuaran, beliau telah meminta agar pemantauan lebih kerap dilakukan di sepanjang laluan utama di Kiulu.
“Ini penting supaya tanda-tanda awal tanah runtuh dapat dikesan dan tindakan awal boleh diambil bagi mengelakkan insiden lebih buruk,” tambahnya.
Dalam pada itu, beliau menyeru penduduk Kiulu agar berhati-hati ketika menggunakan jalan-jalan alternatif sementara menunggu kerja pembaikan siap sepenuhnya.
Jalan alternatif yang boleh dilalui adalah Jalan KK-Kudat, Jalan Stesen TV Lawamandau, Jalan Bungoliu Logkou Timbok, Jalan Kiulu Logkou Lama, dan Jalan Kiulu Lawamandau untuk ke Pekan Kiulu.-pr/BNN