KOTA KINABALU: Tawau dipilih sebagai tuan rumah Festival Bahasa dan Sastera (BAHTERA) Peringkat Negeri yang akan diadakan pada 23 dan 24 Julai 2025 di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) (C) Yuk Chin, Tawau.

BAHTERA akan dirasmikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Haji Nizam Datuk Seri Panglima Haji Abu Bakar Titingan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.68 Apas.

Pengarah  Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah, Puan Jennitah Noordin berkata, BAHTERA merupakan program yang julung-julung kali dianjurkan oleh DBP dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Tawau dan beberapa agensi di sekitar daerah itu.

“Festival ini menjadi wadah bagi pencinta bahasa, sastera, pelajar dan masyarakat umum untuk mengenali serta mendalami keunikan bahasa dan karya sastera yang menjadi warisan bangsa”, katanya semasa mengadakan kunjungan hormat kepada Nizam di pejabatnya di Menara Kinabalu pada Khamis.

Beliau berkata, festival itu bertujuan untuk memartabatkan bahasa kebangsaan sebagai medium komunikasi utama serta memperkayakan apresiasi terhadap pelbagai bentuk karya sastera, termasuk puisi, cerpen, novel dan drama.

Menurutnya, BAHTERA bukan sahaja menjadi platform untuk mempromosikan karya sastera tempatan, tetapi juga menggalakkan dialog antara budaya serta mengukuhkan jati diri bangsa melalui penghayatan bahasa dan seni.

Antara pengisian sepanjang festival itu ialah aktiviti Jom, Baca dan Warnai, Majalah Dalam Kelas, Pertandingan Forum Remaja 2025 Peringkat Negeri Sabah dan Pesta Buku Tawau.

Sementara itu, Nizam mengalu-alukan pemilihan Tawau sebagai tuan rumah BAHTERA, dan menegaskan sekolah di Tawau sering muncul sebagai johan Pertandingan Forum Remaja Peringkat Negeri dan Kebangsaan.

“Dengan adanya festival ini diharap generasi muda akan lebih menghargai bahasa dan sastera, sekali gus memastikan kelestarian warisan budaya dalam arus kemodenan.

“BAHTERA juga memberikan ruang kepada masyarakat untuk mengenali, memahami dan menghargai keindahan serta kepentingan karya sastera tempatan dan kebangsaan”, katanya.

Menurut Nizam, sempena festival itu, beliau juga akan mewakaf buku untuk 8 buah sekolah menengah dan sekolah rendah dalam kawasan DUN Apas.-pr/BNN