SIPITANG: Kedudukan strategik Sipitang yang terletak bersempadan dengan Sarawak, Brunei Darussalam dan Sabah menjadikan daerah itu berpotensi besar untuk diterokai sebagai hab pembangunan ekonomi dan pelancongan.
Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Isnin Aliasnih berkata, kelebihan geografi itu meletakkan Sipitang di landasan tepat untuk dibangunkan sebagai salah satu pemacu pertumbuhan ekonomi negeri.
“Kedudukan strategik Sipitang sebagai pintu masuk rentas sempadan antara Negeri Sarawak, Negara Brunei Darussalam dan Negeri Sabah menjadikannya salah satu daerah yang berpotensi besar untuk diterokai sebagai hab pembangunan ekonomi dan pelancongan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Angkat Sumpah dan Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli Majlis Daerah Sipitang bagi sesi 2025-2027 di Hotel Hilton, Kota Kinabalu, pada Isnin (21 April).
Dalam majlis itu, seramai 17 individu menerima watikah pelantikan sebagai Ahli Majlis Daerah Sipitang dan akan bertanggungjawab membantu merancang serta melaksanakan inisiatif pembangunan di peringkat tempatan.
Isnin turut menggesa semua ahli majlis baharu agar menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab dan dedikasi untuk memastikan segala perancangan pembangunan dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Katanya, Sipitang bukan sahaja kaya dengan keunikan budaya dan warisan tempatan seperti Pesta GATA, malah turut mempunyai kelebihan dari segi keindahan alam semula jadi dan hasil pertanian yang subur.
“Gabungan nilai warisan, kekayaan sumber semula jadi serta lokasi strategik menjadikan Sipitang sebuah daerah yang amat berpotensi untuk dimajukan dengan lebih agresif,” ujarnya.
Menurut Isnin, perkembangan serantau terutama perpindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan bakal membawa kesan langsung kepada kawasan sempadan seperti Sipitang, Kalabakan dan Nabawan.
Jelasnya, perubahan itu tidak harus dipandang ringan kerana ia dijangka mencetuskan pertumbuhan aktiviti ekonomi rentas sempadan yang pesat.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa persediaan awal dari segi infrastruktur, keselamatan sempadan dan kemudahan logistik perlu diberi keutamaan.
“Negara jiran kita, Brunei Darussalam sudah pun membina beberapa Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) sebagai persediaan menghadapi peningkatan aktiviti keluar masuk,” katanya.
Tambah beliau, Sabah juga perlu mencontohi pendekatan tersebut supaya tidak ketinggalan dalam menyediakan prasarana yang sesuai serta kemudahan untuk rakyat.
Isnin berkata, kerjasama semua pihak termasuk kerajaan, agensi berkaitan, komuniti dan sektor swasta amat penting dalam menjayakan aspirasi pembangunan tersebut.
“Dengan semangat bersepadu, kita mampu melonjakkan Sipitang ke tahap yang lebih tinggi sebagai hab ekonomi yang strategik di Sabah,” katanya.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob; Ahli Parlimen P178 Sipitang, Datuk Matbali Musah; Pegawai Daerah merangkap Pengerusi Majlis Daerah Sipitang, Abdul Karim A. M. Zahari; Ketua Polis Daerah Sipitang, Awang Anak Suanda; Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Sipitang, Hamsad Abdul Wahid serta Wakil Penolong Pegawai Tadbir(Operasi) Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Mohd Syahril Bakar. -pr/BNN