TUARAN: Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM13.66 juta tahun ini
bagi usaha pemeliharaan warisan budaya dan seni Sabah, kata Ketua Menteri, Datuk
Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau berkata, ini bagi memastikan warisan seperti pakaian tradisional etnik Sabah
bukan sahaja diwarisi oleh generasi kini tetapi juga dilindungi untuk generasi akan
datang.
“Saya berharap minat terhadap warisan budaya kita dapat dikekalkan dan diwarisi dari
satu generasi ke generasi yang lain. Para peserta pertandingan Unduk Ngadau sendiri
perlu mengambil peluang untuk menjadi duta pemeliharaan budaya, bahasa dan tradisi
suku kaum Kadazandusun,” katanya.
Berucap di majlis Sodop Unduk Ngadau Kaamatan peringkat daerah Tuaran di Nexus
Resort and Spa Karambunai malam ini, Ketua Menteri berkata acara tersebut bukan
sekadar pertandingan fesyen pakaian etnik.
“Ia merupakan satu platform penting untuk menyerlahkan usaha kita dalam memelihara,
mengangkat dan memartabatkan warisan budaya masyarakat Kadazandusun Murut
dan Rungus (KDMR), khususnya dalam aspek pakaian tradisional yang kaya dengan
nilai estetika, simbolisme dan sejarah.
“Acara-acara seperti ini juga boleh menjana ekonomi di kalangan pereka-pereka busana
dan pakaian etnik di negeri Sabah melalui ciptaan dan kreativiti mereka,” katanya.
Hajiji berkata, busana tradisional bukan hanya sekadar pakaian, tetapi melambangkan
identiti, kedudukan sosial, nilai dan tradisi sesuatu kaum.
Sebagai contoh, daerah Tuaran terkenal dengan sulaman Linangkit, di mana setiap
sulaman, motif dan warna mempunyai makna dan cerita tersendiri.
“Kita mesti menghargai dan mengetengahkan seni ini kepada generasi muda dan
masyarakat umum,” katanya.
“Pertandingan ini juga menyokong usaha Kerajaan Negeri untuk memperkukuh
pelancongan budaya melalui promosi warisan tempatan. Keunikan busana etnik
Kadazandusun boleh menjadi tarikan bukan sahaja di peringkat negeri, malah di
peringkat antarabangsa,” katanya.
Ketua Menteri berkata, tema sambutan Pesta Kaamatan tahun ini, “Kaamatan Untuk
Semua”, membawa makna yang besar bahawa semangat Kaamatan tidak terbatas
kepada satu kaum sahaja, tetapi adalah milik bersama seluruh rakyat Sabah.-pr/BNN