KENINGAU: Kerajaan Negeri komited memperkasakan pentadbiran daerah bagi memastikan pelaksanaan dasar pembangunan lebih menyeluruh, khususnya di kawasan luar bandar, kata Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Dr. Jeffrey G. Kitingan.
Beliau berkata, langkah itu selaras dengan kerangka pembangunan negeri menerusi pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menekankan tadbir urus berkesan dan inklusif di semua peringkat.
“Kerajaan Negeri sentiasa berusaha memastikan bahawa dasar dan inisiatif pembangunan yang digariskan dalam kerangka Hala Tuju Sabah Maju Jaya dapat dilaksanakan secara inklusif dan berkesan.
“Ini termasuk memperkasa pentadbiran di peringkat daerah dan memberikan tumpuan khusus kepada daerah luar bandar,” katanya ketika merasmikan Majlis Angkat Sumpah dan Penyerahan Watikah Pelantikan Ahli-Ahli Majlis Daerah Keningau Sesi 2025 hingga 2027 di sini, kelmarin (28 April).
Majlis itu menyaksikan seramai 24 individu menerima watikah pelantikan sebagai ahli Majlis Daerah Keningau bagi tempoh dua tahun.
Dr. Jeffrey yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, turut mengingatkan ahli majlis yang dilantik agar sentiasa menunaikan tanggungjawab mereka dengan penuh integriti, keikhlasan dan berpaksikan kepentingan rakyat.
Katanya, pelantikan tersebut bukan hanya satu penghormatan, malah merupakan amanah besar yang perlu dilaksanakan dengan komitmen tinggi demi kesejahteraan masyarakat setempat.
“Ahli majlis perlu menjadi jambatan penghubung antara pihak berkuasa tempatan dan rakyat serta memainkan peranan aktif dalam menyampaikan suara komuniti di peringkat akar umbi,” kata Ahli Parlimen Keningau itu.
Beliau turut menegaskan pentingnya semua pihak berganding bahu tanpa mengira latar belakang politik atau kaum dalam memastikan dasar kerajaan benar-benar memberi manfaat kepada penduduk setempat.
Katanya, tadbir urus yang progresif, telus dan mesra rakyat di bawah pentadbiran majlis daerah amat penting dalam mendukung agenda pembangunan negeri.
“Jangan biarkan birokrasi menghalang kecekapan perkhidmatan awam di peringkat tempatan. Inilah masa untuk kita menyumbang demi kemajuan dan kesejahteraan Daerah Keningau yang tercinta,” tegasnya yang juga ADUN Tambunan.
Hadir sama pada majlis itu ialah Pembantu Menteri Kerja Raya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor, Datuk Robert Tawik; Pembantu Menteri Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat yang juga ADUN Tulid, Datuk Flovia Ng; ADUN Liawan, Datuk Annuar Ayub; Pegawai Daerah Keningau, Peter Jonu Moinjil dan Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Keningau, Fawzi Abdul Kadir.
Majlis turut diserikan dengan lafaz angkat sumpah pelantikan serta penyerahan watikah kepada semua ahli majlis baharu yang mewakili pelbagai sektor dan latar belakang.-pr/BNN