KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengambil maklum akan mesej yang telah tular di media sosial pada 25 April 2025 berhubung dengan kes penyakit tangan, kaki, dan mulut (HFMD) yang semakin meningkat di negeri Sabah sehingga beberapa sekolah telah menerima arahan penutupan kelas.

Menurut kenyataan Dr. Maria Suleiman Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes HFMD di Sabah dari 1 Januari 2025 sehingga 19 April 2025 adalah sebanyak 4,385 kes. Daripada jumlah tersebut, 83 peratus melibatkan kanak-kanak berumur di bawah 7 tahun. Lima daerah utama yang melaporkan jumlah kes tertinggi ialah Kota Kinabalu (705 kes), Papar (578 kes), Penampang (450 kes), Keningau (431 kes), dan Tawau (262 kes).

“Kesemua kes ini adalah ringan dan hanya memerlukan rawatan pesakit luar, tanpa melibatkan kes di ICU atau berlaku kematian. Majoriti jangkitan yang dilaporkan berlaku di rumah atau pusat pendidikan awal kanak-kanak seperti taska, tadika, dan pra-sekolah.”

“Selain itu, kluster HFMD telah dilaporkan di 10 buah sekolah, di mana lima daripadanya telah diarah tutup sepenuhnya, manakala selebihnya ditutup sebahagian, melibatkan kelas tertentu. Arahan penutupan ini adalah bersifat sementara bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan serta kerja-kerja pembersihan dan disinfeksi untuk memutuskan rantaian jangkitan.”

“Langkah kawalan yang diambil termasuk siasatan kes, persampelan makmal, promosi kesihatan, dan pemeriksaan premis berisiko berdasarkan Garis Panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Pemeriksaan ini dilakukan bagi menilai tahap kebersihan dan keberkesanan disinfeksi, terutamanya dalam populasi berisiko. Ibu bapa dan penjaga disarankan mengamalkan langkah-langkah pencegahan seperti mencuci tangan sebelum makan dan selepas menggunakan tandas, serta memastikan permainan, bilik air, dan barangan yang kerap disentuh dibersihkan secara berkala menggunakan sabun, air, atau cecair disinfeksi. Barangan peribadi seperti cawan, tuala, dan berus gigi tidak boleh dikongsi.”

Kanak-kanak yang bergejala perlu segera mendapatkan rawatan dan dilarang menghadiri pusat jagaan atau tempat awam untuk mengelakkan penularan jangkitan HFMD. Maklumat lanjut mengenai pencegahan HFMD boleh diperoleh dari laman infosihat.moh.gov.my, Facebook KKM, dan Facebook JKNS. Pihak JKNS juga akan terus memantau dan mengemas kini maklumat berkaitan dari semasa ke semasa.-pr/BNN