TAMBUNAN: Enakmen Mahkamah Anak Negeri Sabah 1992 akan digantikan dengan versi baharu bagi memperkemas struktur Mahkamah Anak Negeri dan memperkasa institusi
tersebut, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
“Ini yang sedang kita buat bagi memastikan agar Mahkamah Anak Negeri lebih berkesan
dan relevan,” katanya.
Hajiji berkata Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah telah menyediakan draf enakmen baharu
iaitu Enakmen Mahkamah Anak Negeri Sabah 2025 yang kini sedang diteliti oleh
Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan.
“Draf ini memerlukan ulasan daripada Pejabat Peguam Besar Negeri, Jabatan
Perkhidmatan Awam Negeri dan Kementerian Kewangan sebelum diangkat kepada
Jemaah Menteri dan seterusnya dibentangkan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri,”
katanya.
“Ia adalah salah satu daripada banyak inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk
memberi manfaat kepada rakyat di peringkat akar umbi,” katanya semasa pelancaran Pesta
Kaamatan 2025 di Dewan Terbuka Pisompuruan di sini hari ini.
Ketua Menteri berkata Kerajaan Negeri, melalui Kementerian Pertanian, Perikanan dan
Industri Makanan, terus komited dalam usaha meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) hasil
pertanian bagi memperkukuhkan keterjaminan makanan di Sabah.
SSL Sabah ketika ini hanya 22.8 peratus, dan negeri ini masih bergantung kepada makanan yang diimport, katanya.
Atas sebab itu, Ketua Menteri berkata Kerajaan Negeri telah memutuskan untuk
menghidupkan semula Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS) tahun lalu, dan kini sedang
giat membangunkan kira-kira 22,146 hektar sawah padi terbiar di daerah Tuaran, Kota
Belud, Kota Marudu, Keningau, Papar dan Tambunan.
“Sudah pasti ini akan membantu usaha MAFFI untuk meningkatkan SSL makanan Sabah
kepada sekurang-kurangnya 30 peratus menjelang 2026 dan 60 peratus menjelang 2030,”
katanya.
Mengulas mengenai program Revolusi Ekonomi Pertanian Luar Bandar (REPLB) yang
dilancarkan pada hari Rabu (30 April), Ketua Menteri berkata ia selari dengan semangat
Pesta Kaamatan dan menandakan keprihatinan mendalam Kerajaan Negeri terhadap
golongan berpendapatan rendah, khususnya golongan miskin dan miskin tegar di kawasan
luar bandar.
“Program ini dilancarkan sebagai langkah strategik melonjak pengeluaran hasil pertanian
demi memacu pertumbuhan ekonomi petani sara diri.
“Ia bukan sahaja bertujuan untuk meningkatkan hasil pertanian dan keselamatan makanan
di Sabah khususnya dan Malaysia amnya, tetapi juga merupakan usaha untuk
memartabatkan ekonomi rakyat luar bandar, memperkasa petani, nelayan dan usahawan
tani agar mereka dapat berdikari, berinovasi dan menjana pendapatan yang mampan.
“Melalui penggunaan teknologi moden, sistem sokongan rantaian bekalan, dan pembukaan
peluang pasaran baharu, revolusi ini membuka jalan bagi komuniti luar bandar untuk bangkit sebagai pemain utama dalam ekonomi Sabah,” katanya.
Lebih penting lagi, Hajiji berkata pembangunan ekonomi luar bandar juga menjadi
pemangkin kepada perpaduan dan kestabilan sosial.
“Apabila pendapatan meningkat, peluang pekerjaan diwujudkan, dan golongan muda
kembali ke kampung dengan ilmu dan harapan, maka komuniti akan menjadi lebih kukuh,
bersatu dan sejahtera. Saya berharap program ini akan membantu komuniti petani,
khususnya di luar bandar,” katanya.
Hajiji berkata sambutan Pesta Kaamatan adalah antara acara penting bagi rakyat Sabah
yang bukan sahaja bertujuan mengeratkan silaturahim dan perpaduan dikalangan rakyat
berbilang kaum dan agama sebaliknya juga bagi menyatakan rasa kesyukuran di atas hasil
tuaian yang baik.
“Lebih daripada itu, Kaamatan juga adalah cerminan keharmonian dan semangat muhibah
dalam kalangan rakyat Sabah, selaras dengan aspirasi Malaysia Madani yang menekankan
nilai kemanusiaan, saling menghormati dan kebersamaan,” katanya.
Ketua Menteri menegaskan bahawa tema Pesta Kaamatan tahun ini – Kaamatan Untuk
Semua, Kaamatan For All, Kaamatan Montok Toinsanan – membawa mesej yang sangat
mendalam dan inklusif.
“Ia menekankan bahawa Pesta Kaamatan bukan hanya milik satu komuniti, tetapi satu
perayaan bersama yang merangkul semua rakyat tanpa mengira kaum, agama dan latar
belakang.
“Kaamatan kini bukan hanya pesta menuai. Ia menjadi lambang penyatuan rakyat, satu ruang untuk kita saling mengenali, menghormati, dan meraikan keunikan budaya masing-
masing.
“Tema ini juga mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk menyatukan rakyat Sabah
dari pelbagai lapisan masyarakat bagi meraikan warisan budaya kita yang kaya dan
pelbagai,” katanya.-pr/BNN