TUARAN: Kerajaan Negeri terus komited dalam usaha memelihara khazanah alam
semula jadi negeri ini melalui peluasan kawasan Kinabalu UNESCO Global Geopark
(KUGGP) dan Crocker Range Biosphere Reserve, sejajar dengan matlamat
pembangunan lestari negeri di bawah Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, pengiktirafan
antarabangsa oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) terhadap Taman Kinabalu sebagai Tapak Warisan
Dunia dan Global Geopark, serta Banjaran Crocker sebagai Biosphera Reserve,
meletakkan Sabah sebagai antara tiga kawasan di dunia yang mencapai gelaran “Triple
Crown of UNESCO”.
“Ini bukan sahaja satu penghormatan, tetapi satu tanggungjawab besar. Kita mesti
memperkukuhkan asas saintifik, meningkatkan kesedaran awam serta memelihara
sumber semula jadi secara berterusan,” katanya pada Majlis Pelancaran Proses
Konsultasi Bersama Pihak Berkepentingan dan Komuniti Tempatan serta Ekspedisi
Saintifik Peluasan KUGGP dan Crocker Range Biosphere Reserve di Linangkit Cultural
Village pada Sabtu.
Katanya, cadangan peluasan KUGGP ke daerah Tuaran, merupakan langkah strategik
yang menerima sokongan penuh kerajaan negeri. Kawasan ini bukan sahaja kaya
dengan biodiversiti tetapi juga berpotensi tinggi dalam sektor eko-pelancongan dan
pembangunan komuniti.
Hajiji turut mengumumkan rancangan untuk mewujudkan sebuah Pusat Kesedaran
Awam atau galeri info di Tuaran, sebagai syarat tambahan bagi memenuhi kriteria
UNESCO. Pusat ini akan berfungsi sebagai platform utama untuk penyebaran maklumat
dan pendidikan kepada masyarakat setempat.
“Saya mahu Jawatankuasa KUGGP bersama Pejabat Daerah Tuaran kenal pasti lokasi
yang sesuai untuk penubuhan pusat ini. Ia penting bagi menyokong kesedaran komuniti
terhadap kepentingan Geopark,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa pembangunan Geopark tidak hanya tertumpu kepada
sains dan pemuliharaan, malah mampu memperkasa ekonomi komuniti melalui
pelancongan berasaskan geokhazanah. Sabah, katanya, memiliki kelebihan semula jadi yang tidak terdapat di negeri lain seperti hutan hujan tropika, gunung, laut dan biodiversiti yang luar biasa.
Hajiji turut memberi contoh beberapa lokasi eko-pelancongan yang berjaya seperti
Nohutu Eco-Tourism di Kota Belud, Kiulu Farmstay, Walai Tobilung Cultural Centre di
Kota Marudu, dan Misompuru Homestay di Kudat, yang boleh dijadikan model kepada
pembangunan eko-pelancongan di Tuaran.
Menyentuh kejayaan Ekspedisi Saintifik Geo-Sulaman (EGOS 2025) yang baru selesai
dilaksanakan, beliau berharap hasil kajian tersebut dapat didokumentasikan secara
menyeluruh untuk dijadikan asas dalam pembangunan pelan pengurusan, garis
panduan serta bahan pendidikan berkaitan peluasan kawasan Geopark.
Katanya, Kerajaan negeri turut merancang ekspedisi saintifik tambahan di sekitar
Banjaran Crocker, melibatkan daerah Ranau dan Tuaran sebagai persediaan
memperluaskan lagi kawasan Crocker Range Biosphere Reserve.
“Kejayaan Geopark tidak hanya terletak pada namanya, tetapi pada usaha kolektif kita
untuk belajar, berkongsi, dan melindungi khazanah alam ini agar kekal untuk generasi
akan datang,” katanya.
Hajiji yakin peluasan kawasan KUGGP dan Crocker Range Biosphere Reserve akan
memberi manfaat menyeluruh, termasuk pemeliharaan alam sekitar, peningkatan
pendidikan komuniti serta pembangunan sosioekonomi negeri.
Majlis itu telah menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk agensi
kerajaan, penyelidik institusi pengajian tinggi, wakil komuniti tempatan serta badan
bukan kerajaan (NGO), yang bersama-sama menjayakan ekspedisi saintifik dan
rundingan pelanjutan kawasan Geopark.-pr/BNN