KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor ingin melihat
lebih ramai wanita terus diperkasakan melalui program-program yang berkesan yang
memberikan mereka kemampuan untuk membuat pilihan dan terlibat dalam membuat
dasar dan keputusan.

“Yang lebih penting, saya mahu wanita mempunyai akses kepada peluang, termasuklah
pemerkasaan seperti dalam ekonomi, pendidikan, dan politik untuk membolehkan
wanita membuat pilihan yang memberi impak positif kepada kehidupan mereka dan
keluarga mereka,” katanya.

Berucap semasa majlis angkat sumpah ahli Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) di
Menara Kinabalu hari ini, Ketua Menteri berkata pemerkasaan wanita adalah penting
bukan sahaja untuk manfaat dan kesejahteraan wanita tetapi untuk kemajuan
keseluruhan masyarakat.

“Pemerkasaan wanita akan membawa kepada hasil ekonomi yang lebih baik, keluarga
yang lebih sihat, dan komuniti yang lebih adil. Tetapi ini memerlukan usaha kolaboratif
daripada semua – kerajaan, organisasi, dan individu untuk mewujudkan persekitaran
inklusif di mana wanita boleh mencapai kemajuan.

“Oleh itu, saya berharap ahli MPWS yang baharu dilantik ini akan dapat menjadi
sebahagian jentera kerajaan dalam mengoptimumkan penglibatan wanita dalam
pelbagai aspek bagi melahirkan wanita yang berilmu dan hebat yang boleh membawa
nama negeri Sabah kepersada antarabangsa,” katanya.

Hajiji berkata peranan dan kepentingan wanita sebagai modal insan yang menjana
pembangunan negeri semakin jelas.

“Dalam hal ini, semua pihak perlu memainkan peranan membantu kerajaan dalam
melahirkan wanita yang berilmu pengetahuan. khususnya dalam menghadapi cabaran
pembangunan ekonomi yang memerlukan nilai-nilai kreativiti dan inovasi,” katanya.
MPWS ditubuhkan sebagai badan penyelaras dan penasihat kepada kerajaan Negeri
serta pengantara kerajaan Negeri dan organisasi wanita bukan kerajaan.

 

“Tugas MPWS termasuk melaksanakan dasar dan program yang memberi manfaat
kepada kaum wanita Sabah di peringkat negeri, nasional, dan antarabangsa, antara
lainnya.

“Oleh itu, bagi mereka yang dilantik memegang jawatan di MPWS, adalah satu
penghormatan bahawa anda telah dipilih dan diberi amanah dalam peranan kepimpinan
untuk memastikan wanita di Sabah akan mendapat manfaat daripada dasar dan
program kerajaan melalui MPWS,” katanya.

Hajiji berkata MPWS turut memainkan peranan penting untuk bertindak sebagai badan
pemikir, pemangkin dan saling bekerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah
(JHEWA) bagi menyatukan usaha ke arah memajukan wanita di negeri ini.

“Saya maklum dibawah MPWS ini, sebanyak tujuh jawatankuasa kecil telah diwujudkan
iaitu Ekonomi, Pendidikan, Sosial, Kesihatan, Undang-Undang, Gender, Wanita &
Media, bagi memajukan pembangunan golongan wanita di negeri ini.

“Saya mahu supaya JHEWA yang bertindak sebagai sekretariat MPWS, akan
memainkan peranan dalam membantu pelaksanaan program-program yang dirancang
oleh MPWS meliputi jawatankuasa kecil yang diwujudkan. Ini amatlah penting demi
memperkasakan dan meningkatkan martabat wanita di Sabah.

“Saya juga berharap kepada semua ahli-ahli Majlis Penasihat yang baharu dilantik ini,
supaya dapat menetapkan hala tuju MPWS dalam mensejahterakan rakyat melalui
jawatankuasa yang ada,” katanya.

Mengetuai upacara angkat sumpah ahli baharu MPWS ialah pengerusi, Datuk Dr Hajah
Rosmahwati Lasuki.

Ahli-ahli baharu MPWS adalah Datin Hajah Fauziah Datuk Abu Bakar Titingan, Jais Asri,
Prof Ts Dr Imbarine Bujang, Viviantie Sarjuni, Dayang Selha Ibrahim, Nor Saadah Omar,
Nor Azah Abd Rahman dan Datin Atin Belynda Buntot.-pr/BNN