KOTA KINABALU: Mantan Timbalan Ketua Badan Perhubungan Negeri (BPN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah, Aksyah Haji Nasrah, menyelar tindakan pembangkang yang didakwanya terus menerus menjadikan fitnah dan eksploitasi terhadap isu-isu sensitif sebagai senjata politik demi meraih kuasa.
Beliau menegaskan bahawa pembangkang dilihat ketandusan idea bernas untuk menawarkan hala tuju masa depan Sabah yang jelas dan meyakinkan.
Sebaliknya, mereka menurutnya lebih gemar mengeksploitasi kesedihan dan aib rakyat untuk kepentingan politik sendiri.
“Kaedah ini bukan baharu. Ia pernah digunakan ketika menjatuhkan Barisan Nasional (BN) sebelum ini. Kini, ironi apabila BN yang kini berada dalam blok pembangkang turut terikut-ikut dengan pendekatan yang sama.
“Bahkan, kelihatan seperti sedang ‘bermesra’ dengan bekas seteru politik mereka,” katanya merujuk kepada insiden baru-baru ini di bangunan Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) yang dijadikan bahan politik oleh pihak tertentu.
Beliau turut mengulangi seruannya kepada rakyat Sabah agar tidak tertipu buat kali kedua dengan retorik dan propaganda politik yang tidak berlandaskan fakta.
“Sudah tiba masanya untuk kita memperkukuhkan momentum sokongan kepada parti-parti tempatan seperti Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang berpaksikan nilai dan aspirasi rakyat Sabah,” tambahnya.
Aksyah menyifatkan serangan berterusan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dan pimpinan GRS sebagai satu bentuk “pembunuhan karektor” oleh pembangkang yang kehabisan modal politik.
“Mereka memanipulasi data, memperlekeh penampilan serta mencipta persepsi negatif yang tidak berasas. Ini mencerminkan betapa rendahnya mutu politik yang dibawa oleh pembangkang,” katanya lagi.
Beliau turut mengingatkan rakyat bahawa kualiti kepimpinan boleh diukur daripada cara mereka menghadapi tekanan dan fitnah.
“Imam Al-Ghazali pernah berpesan – pilihlah pemimpin yang dihujani panah fitnah, kerana itulah petanda mereka berada di jalan yang benar,” katanya sambil merujuk kepada kesungguhan Hajiji dan barisan GRS-PH Plus yang kekal fokus dalam menjalankan amanah tanpa melayani tohmahan liar.
Aksyah turut menyeru rakyat Sabah agar terus menyokong pemimpin yang berintegriti dan berkhidmat dengan tenang demi kemajuan negeri.-pr/BNN