KOTA KINABALU: Penasihat Teknikal (Tenaga) kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr. James Lim menerima kunjungan hormat daripada delegasi Bureau Veritas Malaysia,
sebuah peneraju global dalam perkhidmatan ujian, pemeriksaan dan pensijilan, pada Jumaat (25 April) di Bilik Mesyuarat, Pejabat Ketua Menteri, Menara Kinabalu.
Kunjungan tersebut menjadi platform untuk membincangkan potensi kerjasama strategik dalam memajukan sektor tenaga negeri, khususnya dalam aspek pembangunan tenaga boleh diperbaharui, pematuhan infrastruktur minyak dan gas, serta amalan tenaga mampan.
Delegasi Bureau Veritas yang diketuai oleh Encik Mustafa Kamal Muda, Ketua Jabatan
Pembangunan Perniagaan, turut berkongsi pandangan berkenaan kepakaran organisasi itu dalam jaminan kualiti, pematuhan piawaian keselamatan dan kesihatan, serta kelestarian alam sekitar yang selari dengan aspirasi Sabah ke arah masa depan tenaga yang lestari dan hijau.
Dalam pertemuan tersebut, Dr. James menekankan kepentingan (Protokol Antarabangsa Pengukuran dan Pengesahan (MVIP- Measurement and Verification Internasional Protocol) dalam memastikan penilaian penjimatan tenaga yang tepat dan telus, elemen kritikal bagi industri yang berusaha mencapai kelestarian global.
Dr. James berkata “Pematuhan terhadap MVIP memastikan penjimatan tenaga boleh diukur, dilaporkan, dan disahkan adalah faktor utama dalam membina keyakinan terhadap usaha kelestarian. Sudah tiba masanya bagi industri tenaga di Sabah mematuhi MVIP ini”
Sebagai rujukan, pendekatan global dalam menilai dan mengesahkan prestasi seperti Protokol Antarabangsa Pengukuran dan Pengesahan (MVIP) telah digunakan secara meluas untuk meningkatkan ketelusan dan kepercayaan terhadap data dan hasil projek tenaga. MVIP ialah rangka kerja piawai yang dibangunkan di bawah naungan Protokol Antarabangsa Pengukuran dan Pengesahan Prestasi (IPMVP), yang menyediakan metodologi tersusun untuk mengesahkan sebarang pengukuran secara telus dan berwibawa.
Delegasi Bureau Veritas menyatakan komitmen mereka untuk menyokong aspirasi tenaga Sabah melalui penyediaan kepakaran teknikal, perkhidmatan pensijilan serta penyelesaian inovatif yang disesuaikan dengan keperluan pembangunan tenaga negeri ini.
Perbincangan turut menyentuh kemungkinan pelaksanaan program latihan dan pembangunan kapasiti untuk tenaga kerja tempatan, sebagai usaha memperkasa sumber manusia Sabah dengan kemahiran berkaitan teknologi tenaga baharu dan amalan terbaik antarabangsa.
Pertemuan ini mencerminkan langkah positif ke arah memperkukuh sinergi antara sektor awam dan swasta dalam landskap tenaga Sabah, menyokong pembangunan mampan yang seiring dengan matlamat ekonomi dan alam sekitar negeri.
Untuk makluman, Bureau Veritas ialah peneraju global dalam perkhidmatan ujian makmal,
pemeriksaan dan pensijilan, yang beroperasi di lebih 140 negara merentasi pelbagai sektor termasuk tenaga, infrastruktur dan industri marin. Organisasi ini berkomitmen untuk membentuk dunia yang lebih dipercayai melalui pematuhan, keselamatan dan prestasi.-pr/BNN