KOTA KINABALU:  Keputusan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 disifatkan sebagai satu langkah berani yang membakar semula semangat perjuangan rakyat Sabah, kata mantan Timbalan Ketua Badan Perhubungan Negeri (BPN) BERSATU Sabah, Aksyah Haji Nasrah.
Menurut beliau, pendirian tegas yang dinyatakan oleh Pengerusi GRS merangkap Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, mencerminkan hasrat dan aspirasi sebenar rakyat negeri itu yang sekian lama mendambakan kepimpinan berlandaskan acuan tempatan.
“Respon Hajiji terhadap pengumuman kerjasama BN-PH menjelang PRN-17 telah menyalakan obor perjuangan rakyat Sabah. Ia seolah-olah meniup kembali roh para pejuang terdahulu seperti Mat Salleh, Antanom dan Tun Fuad Stephens yang pernah bangkit demi maruah negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Aksyah turut menegaskan bahawa GRS wajar dilihat sebagai tonggak utama dalam landskap politik Sabah dan bukan sekadar pelengkap kepada gabungan politik nasional.
“Sabah memerlukan parti yang bebas menentukan hala tuju sendiri, berpandukan kepentingan rakyat negeri ini tanpa dikongkong oleh kuasa luar. Jika sudah ada Menara Kinabalu, kenapa perlu Putrajaya untuk menilai baik buruk nasib rakyat Sabah?” soal beliau.
Tambahnya, walaupun sebelum ini Hajiji bersikap terbuka dengan menawarkan kerjasama kepada pihak Kerajaan Perpaduan melalui pendekatan diplomasi, namun pendirian GRS untuk tidak bergantung kepada sokongan luar membuktikan keyakinan terhadap kekuatan akar umbi sendiri.
“Ini bukan soal menolak perpaduan, tetapi menjunjung aspirasi rakyat. Sabah perlu ditadbir oleh pemimpin yang memahami denyut nadi rakyat, dan ini hanya boleh dicapai melalui parti tempatan yang bebas, berprinsip dan berpandukan semangat Perjanjian Malaysia 1963,” katanya.
Aksyah turut menyeru semua pemimpin GRS, terutamanya di peringkat akar umbi, agar bersiap siaga dalam menghadapi PRN akan datang dengan mengetepikan kepentingan peribadi demi kemenangan bersama.
“Ini masa untuk kita betulkan mentaliti, kukuhkan perpaduan dan fokus kepada kemenangan. Rakyat Sabah sudah memberi isyarat, dan kita perlu menjawabnya dengan tindakan,” tegas beliau.
Beliau mengakhiri kenyataan dengan menyatakan keyakinan penuh terhadap kebijaksanaan dan keberanian Hajiji dalam mengemudi perjuangan politik GRS menjelang PRN-17.-pr/BNN