TAWAU: Usaha membawa program pembangunan kerajaan Madani seperti Program Madani Rakyat (PMR) ke peringkat daerah, memberi peluang kepada golongan usahawan tempatan mendapat maklumat berkaitan program keusahawanan yang dibawa oleh kerajaan, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Penglima Hajiji Noor.

Ini secara tidak langsung katanya, dapat mempromosi produk tempatan kepada
masyarakat luar sekali gus menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan
sektor pelancongan domestik.

“Usaha ini juga sebagai langkah mendekati dan mendampingi rakyat, dimana aktiviti
mempromosi program-program pembangunan Kerajaan Madani tidak hanya tertumpu
di kawasan-kawasan tertentu sahaja.

“Inilah bukti bahawa Kerajaan Madani tidak pernah mengabaikan tanggungjawab
terhadap rakyat walau di mana pun mereka berada,” katanya sempena Majlis Program
Madani Rakyat (PMR) 2025; Sabah, di Dataran Majlis Perbandaran Tawau, di sini pada
Ahad.

Perdana Menteri, Datuk Seri Panglima Anwar Ibrahim telah menyempurnakan penutupan majlis berkenaan.

Sehubungan itu beliau berharap Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi
Malaysia (KUSKOP) akan terus membawa sekali gus membantu dalam memperkasa
pembangunan keusahawanan, khususnya di negeri ini.

“Inisiatif keusahawanan yang direncana khusus di Sabah seperti Projek Premis Tamu
Desa, usaha pendigitalan melalui TEKUN TikTok Shop, pembiayaan sehingga RM800
juta, serta pembukaan Hab Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) oleh SME
Corporation Malaysia, telah memberi impak positif kepada lebih 50 ribu usahawan
mikro, kecil dan sederhana di Sabah.

“Inisiatif ehsan@KUSKOP juga dilihat mampu membantu menoktahkan kemiskinan
tegar melalui pendekatan intervensi bersasar yang melibatkan bimbingan, latihan,
modal dan pemantauan menyeluruh.

 

“Pendekatan yang dibawa oleh KUSKOP ini telah memberi nilai tambah yang strategik
kepada landskap keusahawanan tempatan. Justeru, saya berharap program
ehsan@KUSKOP ini dapat diperluaskan lagi ke lain-lain daerah dan kawasan luar
bandar di Sabah,” katanya.

Beliau juga mahu capaian perkhidmatan perbankan terutamanya bagi agensi-agensi di
bawah KUSKOP, diperluaskan.

“Justeru, saya berharap institusi seperti Bank Rakyat akan mempertimbangkan untuk
membuka lebih banyak cawangan, atau sekurang-kurangnya meletakkan mesin ATM
atau Automatic Teller Machine di kawasan luar bandar, sebagai kemudahan untuk
rakyat, terutama golongan usahawan tempatan,” katanya.

Hajiji berkata, di peringkat negeri beberapa program yang berkaitan dengan
pembangunan keusahawanan turut disediakan kepada belia antaranya Skim Jaya
Usahawan Belia (Syabas) di bawah Kementerian Belia dan Sukan Sabah.

“Di bawah Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, terdapat juga
beberapa program yang menjurus kepada pembangunan keusahawanan dalam
kalangan belia, seperti Bengkel Skim Usahawan Siswazah (BUSS) dan Bengkel Skim
Usahawan Teknikal (BEST) yang masing-masing menyasarkan belia lepasan universiti
dan lepasan institusi vokasional atau kemahiran.

“Kerajaan negeri melalui Yayasan Usaha Maju (YUM), sebuah agensi yang diwujudkan
sejak 1995, terus membantu golongan peniaga dengan menawarkan pinjaman mikro
kepada kumpulan sasar, termasuklah usahawan wanita, yang memerlukan modal untuk
memajukan perniagaan mereka,” katanya.

Beliau berkata, kemajuan sektor keusahawanan bergantung rapat dengan prestasi
ekonomi negeri dan negara.

“Sejak berakhirnya Pandemik Covid-19 pada 2021, ekonomi Sabah yang sebelum itu
jatuh merudum, telah menunjukkan perkembangan yang positif dengan prestasi
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mula meningkat daripada RM 82.1 bilion pada
tahun 2022, kepada RM 83.2 bilion pada tahun 2023.

“Dan diunjurkan KDNK Sabah untuk tahun 2024 ialah sebanyak RM 84.9 bilion. Ini
jelas memperlihatkan keupayaan dan kesungguhan Kerajaan Negeri bukan sahaja
dalam memulihkan semula ekonomi tetapi juga meletakkan prestasi ekonomi Sabah
ditahap yang terbaik,” katanya.

Katanya, kerajaan juga komited untuk merancakkan lagi program membasmi miskin
tegar di Sabah, dimana kita telah berjaya mengurangkan kadar miskin dan miskin tegar
secara signifikan.

 

“Kejayaan ini hasil kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri,
dengan pelaksanaan beberapa inisiatif seperti Rumah Mesra SMJ, Sentuhan Kasih
Rakyat Sabah, dan dasar Kerajaan Negeri yang memberi keutamaan pengambilan
pekerja dalam kalangan Ketua Isi Rumah yang tergolong dalam miskin dan miskin tegar
oleh agensi kerajaan negeri dan syarikat berkaitan kerajaan terpilih,” katanya.

Sehubungan itu Ketua Menteri berkata hubungan erat yang sedia terjalin antara
Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Pusat akan terus diperkukuhkan.

“Kita optimis, kerjasama dan hubungan akrab antara kedua-dua kerajaan, negeri dan
persekutuan, adalah kunci kepada kejayaan kita bersama dalam mencapai matlamat
masyarakat madani, iaitu masyarakat yang progresif, berilmu, berintegriti dan hidup
dalam suasana makmur dan harmoni,” katanya.-pr/BNN