KUNAK: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, menghormati pandangan Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Panglima Anwar Ibrahim, berkenaan langkah memastikan kestabilan politik di Sabah yang dibincangkan dalam pertemuan mereka di Tawau pada Ahad. Ia berkaitan hasrat PM sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH) untuk melihat Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dapat bekerjasama dengan PH dan Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17). Katanya, GRS tidak menghadapi masalah untuk bekerjasama, tetapi perkara itu perlu diputuskan terlebih dahulu oleh Ahli Majlis Tertinggi (AMT) gabungan berkenaan.
“Saya berjumpa dengan Perdana Menteri dan kami amat menghormati pandangan serta nasihat beliau mengenai cara mewujudkan kestabilan politik di Sabah, kerana jika stabil, kita boleh maju dan melaksanakan pelbagai pembangunan untuk rakyat. Kita menghormatinya. Dalam konteks kerjasama, kami tiada masalah kerana kerajaan negeri kini adalah GRS-PH Plus. Namun, apa pun keputusan kita pada PRN nanti, kita akan rujuk kepada Ahli Majlis Tertinggi GRS untuk memuktamadkan. Saya juga nyatakan kepada Perdana Menteri bahawa di Sabah, kita perlu melihat aspirasi tempatan bagi mewujudkan persefahaman politik untuk kemajuan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Bersama Ketua Menteri: Membina Masa Depan Kunak, di Padang Pekan Kunak pada Isnin.
Hadir sama dalam majlis itu ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif; Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak, Datuk Norazlinah Arif, dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Sr Haji Safar Untong.
Terdahulu, dalam ucapannya pada majlis itu, Hajiji mengulangi pendiriannya bahawa GRS harus mengetuai cabaran kerajaan negeri bagi menghadapi PRN17. Beliau merasai denyut nadi rakyat negeri ini yang mahu kerajaan diketuai oleh parti tempatan, khususnya melalui GRS sebagai satu-satunya gabungan politik berasaskan parti tempatan di Sabah.
Beliau menegaskan, pencapaian kerajaan negeri yang diketuai GRS setakat ini sudah terbukti, termasuk dari segi pembangunan ekonomi yang perlu diteruskan melalui mandat baharu daripada rakyat dalam PRN17 nanti.
“Banyak inisiatif kita laksanakan di seluruh Sabah yang cukup baik untuk masa depan, bukan sahaja untuk pembangunan Sabah, tetapi juga untuk membangunkan ekonomi kita secara keseluruhan. Saya bangga kerana kita mempunyai pasukan yang mantap dalam kerajaan, dan rakyat memberikan sokongan padu. Kita mesti belajar daripada sejarah politik Sabah—kalau asyik bergaduh, kita akan berpecah. Oleh itu, saya mahu GRS menjadi ketua pada PRN nanti kerana saya merasai denyut nadi rakyat terhadap kita. Aspirasi mereka mahukan kerajaan diketuai oleh parti tempatan di Sabah,” katanya.
Hajiji menambah, pencapaian kerajaan pimpinannya tidak pernah berlaku sebelum ini, termasuk Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) dengan PETRONAS yang memberi manfaat besar kepada Sabah. Antara manfaat yang diperoleh termasuk pegangan 20 peratus dalam Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) Samarang dan projek Sabah Ammonia Urea (SAMUR) di Sipitang. “Banyak lagi yang kita perolehi melalui rundingan dengan PETRONAS; dulu mana ada. Jika rundingan dilakukan dengan baik, PETRONAS akan beri peluang untuk memajukan minyak dan gas di Sabah,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan, pencapaian kerajaan pimpinannya tetap menjadi keutamaan meskipun sering menjadi sasaran fitnah, termasuk tuduhan bahawa beliau lemah. “Walaupun setiap hari difitnah, ada yang kata Hajiji lembut dan sentimental. Tapi, siapa Hajiji sebenarnya? Saya tidak takut, kita lawan kerana saya tahu rakyat di belakang GRS,” tegasnya.
Dalam majlis itu, Hajiji juga mengumumkan penyerahan tanah daripada Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) sebagai rizab perkampungan bagi Kampung Kunak Jaya, Bagian dan Selamat. Beliau turut mengumumkan peruntukan kerajaan negeri sebanyak RM1.2 juta untuk membina kemudahan jeti di Kampung Pangkalan, seperti disuarakan oleh Norazlinah sebagai wakil rakyat Kunak. Hajiji, yang juga Pengerusi GRS, mengingatkan rakyat Kunak supaya meneruskan sokongan kepada Norazlinah dan memastikan kemenangan GRS pada PRN17 demi kesinambungan pembangunan di daerah ini.-pr/BNN