KOTA KINABALU: Rakyat Sabah digesa supaya terus bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai satu-satunya gabungan politik yang benar-benar memahami denyut nadi dan kehendak rakyat negeri ini.
Seruan itu disuarakan oleh Mantan Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) BERSATU Sabah, Aksyah Haji Nasrah yang kini menyokong perjuangan GRS.
Mengulas ucapan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika melancarkan Gerak17 UMNO Sabah Parlimen Sepanggar baru-baru ini, Aksyah berkata kenyataan tersebut jelas membuktikan bahawa pembangkang tidak memiliki keupayaan sebenar untuk menyelesaikan isu-isu asas rakyat Sabah seperti air, elektrik dan jalan raya — tiga perkara yang sering dijadikan modal politik mereka.
“Sebagai pemimpin nombor dua negara dan memegang portfolio strategik dalam pembangunan luar bandar, seharusnya isu-isu infrastruktur ini mampu ditangani dalam tempoh tiga bulan. Namun kenyataan beliau menunjukkan seolah-olah segalanya masih di tahap retorik,” katanya.
Aksyah turut mempersoalkan janji manis yang sering dilontarkan dalam kempen pembangkang, seolah-olah mereka memiliki “lampu Aladdin” yang mampu menyelesaikan segala masalah serta-merta.
Namun hakikatnya kata beliau, Presiden mereka sendiri memerlukan masa tiga tahun untuk menyelesaikan masalah ini. Walhal, banyak projek sedang dalam pelaksanaan dan dijangka selesai dalam tempoh tersebut.
Beliau juga mengingatkan bahawa rakyat Sabah tidak mudah melupakan sejarah pentadbiran Barisan Nasional (BN) yang memerintah hampir tiga dekad, namun gagal menyediakan infrastruktur asas yang baik di negeri itu.
Tambahnya, kadar pengangguran yang masih tinggi turut membuktikan kelemahan berterusan yang diwarisi GRS.
“Lebih menyedihkan, ketika Presiden Warisan memegang portfolio luar bandar, banyak projek yang sepatutnya membantu rakyat bertukar menjadi projek gajah putih. Malah, tindakan menubuhkan kementerian baru hanya kerana percanggahan politik peribadi jelas menunjukkan keutamaan beliau bukan pada rakyat,” tegasnya.
Aksyah turut menyentuh tindakan Datuk Seri Panglima Shafie Apdal ketika menjadi Ketua Menteri yang membatalkan sistem PDP Pan Borneo dan konsesi air, yang menurutnya memberi kesan jangka panjang kepada pembangunan infrastruktur negeri.
“GRS kini menerajui usaha pemulihan melalui kerangka Sabah Maju Jaya yang bukan sahaja memberi tumpuan kepada pembaikan infrastruktur, malah merangka semula hala tuju ekonomi Sabah yang hampir lumpuh,” katanya.
Menurut beliau, slogan “Sabah for Sabahan” bukanlah bersifat kenegerian, sebaliknya adalah cerminan perjuangan untuk memastikan Sabah dipimpin oleh parti tempatan yang memahami realiti negeri ini serta memperjuangkan hak-hak negeri berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963.
“Slogan itu membawa roh perjuangan untuk mengembalikan hak Sabah yang selama ini terpinggir. Kerajaan Persekutuan wajar menghormati dan menunaikan komitmen dalam perjanjian bersejarah itu,” ujarnya.
Aksyah juga mengingatkan bahawa GRS adalah pemerintah sah negeri Sabah pada masa ini, dan kedudukannya harus dihormati oleh semua pihak termasuk rakan politik di peringkat pusat.
“Semasa BN mentadbir dahulu, mereka menentukan arah politik negara. Mengapa kini apabila GRS menerajui Sabah, ada usaha menidakkan status quo ini? Pelik, tapi benar. Apa agenda mereka sebenarnya? Rakyat wajar menilai,” katanya sambil menyeru agar sokongan kepada GRS terus dikekalkan demi kestabilan dan kemajuan Sabah.-pr/BNN