KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, telah menyeru golongan belia negeri ini agar membuka minda dan melihat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai pilihan utama untuk membina masa depan yang cerah, bukan sekadar laluan alternatif. Beliau menegaskan bahawa bidang TVET kini memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi dan sosial negeri, sejajar dengan transformasi teknologi serta keperluan industri masa kini.
Katanya, TVET bukan sahaja melengkapkan individu dengan kemahiran praktikal, tetapi juga sinonim dengan pemerkasaan, peluang pekerjaan, dan pertumbuhan ekonomi. Ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri III dan Menteri Kerja Raya Negeri, Datuk Ir. Shahelmey Yahya, semasa Majlis Pelancaran Majlis TVET Sabah (MTS) di Ballroom The Magellan Sutera Resort, Sutera Harbour, pada Isnin.
Hajiji menegaskan bahawa kursus-kursus TVET yang ditawarkan kini telah disesuaikan dengan keperluan pasaran kerja dan sektor perindustrian yang berkembang pesat, menjadikannya satu jalan kerjaya yang stabil dan berdaya maju untuk anak muda. “Saya menyeru belia negeri ini agar tidak ragu-ragu untuk menyertai bidang TVET. Inilah masa untuk mengubah persepsi dan memandang TVET sebagai pilihan bijak yang membuka ruang untuk menjadi profesional, usahawan, dan inovator,” katanya.
Menurut beliau, Majlis TVET Sabah yang dilancarkan hari ini merupakan komitmen Kerajaan Negeri untuk memperkukuh ekosistem latihan teknikal, menyelaras lebih daripada 160 institusi TVET di seluruh negeri, dan memastikan setiap graduan yang dihasilkan benar-benar bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan. Beliau turut menyatakan bahawa TVET dianggap sebagai pemacu utama kepada matlamat pembangunan negeri melalui Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0 dan dokumen strategik nasional seperti Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 2030), Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030), dan National Energy Transition Roadmap (NETR).
Hajiji turut menyentuh mengenai revolusi teknologi masa kini, termasuk kecerdasan buatan (AI), yang menuntut generasi muda bersedia dengan kemahiran baharu yang bersifat adaptif dan berorientasikan inovasi. “Dunia pekerjaan sedang berubah. Jika belia Sabah tidak bersedia dengan kemahiran yang relevan, kita akan ketinggalan. TVET adalah platform terbaik untuk kita bangunkan modal insan berkemahiran tinggi yang akan memacu kemajuan negeri,” tegasnya.
Beliau menambah bahawa pelancaran Majlis TVET Sabah menandakan satu era baharu dalam memperkasakan pembangunan belia melalui latihan berstruktur dan berpandukan keperluan industri—sekali gus menjadikan Sabah sebagai hab tenaga kerja mahir yang kompetitif di peringkat nasional dan serantau. Menurut beliau, majlis ini bukan sekadar struktur pentadbiran, tetapi juga platform strategik yang menyatukan agensi kerajaan, institusi latihan, sektor industri, dan pemain utama TVET dalam satu ekosistem yang tersusun dan inklusif.
Selain itu, Hajiji menyatakan bahawa Majlis TVET Sabah berperanan sebagai penyelaras dasar, pemacu hala tuju latihan kemahiran, dan sebagai penghubung strategik dalam permohonan dana pembangunan daripada Kerajaan Persekutuan. “Ia turut menyokong agenda pemerkasaan belia dan kebolehpasaran graduan, di samping memperkukuh pengiktirafan serta pensijilan kemahiran di peringkat negeri,” ujarnya.-pr/BNN