KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, merakamkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Haji Ahmadshah bin Abdullah, yang meninggal dunia di Hospital KPJ di sini pada Selasa.
“Bagi pihak keluarga saya dan kerajaan negeri, saya merakamkan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham Tun. Jasa Tun kepada Sabah amat besar kepada negeri ini, terutama ketika berkhidmat sebagai penjawat awam. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Rabu.
Tun Ahmadshah dilahirkan di Kampung Inanam pada 9 Disember 1946 dan dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah dari tahun 2003 hingga 2010. Sebelum itu, beliau memegang jawatan sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri sebelum bersara pada Disember 2002. Allahyarham juga pernah menyandang beberapa jawatan lain, antaranya Pengarah Perjawatan Negeri Sabah, Ketua Bahagian Hal Ehwal Dalaman dan Penyelidikan Jabatan Ketua Menteri Sabah, serta Setiausaha Majlis Ugama Islam Sabah.
Allahyarham meninggalkan empat orang anak, manakala isterinya, Toh Puan Dayang Masuyah Awang Japar, telah meninggal dunia pada tahun 2020.
Kerajaan negeri turut mengumumkan tempoh berkabung rasmi selama satu hari dan bendera negeri Sabah dikibarkan separuh tiang sepanjang tempoh berkenaan.-pr/BNN