KOTA KINABALU: Majlis penghormatan terakhir bagi bekas Yang di-Pertua Negeri
Sabah, Allahyarham Tun Datuk Seri Panglima Haji Ahmadshah Abdullah berlangsung
dalam suasana penuh hiba dan penghormatan di Masjid Negeri pada Rabu.

Jenazah Allahyarham dibawa dari kediaman keluarga di Taman Likas Jaya kira-kira
jam 10.00 pagi dan disambut oleh ahli keluarga, kenalan rapat, serta para pemimpin
negeri dan rakyat yang hadir untuk memberikan penghormatan terakhir.

Solat jenazah diimamkan oleh Mufti Kerajaan Negeri, SS Datuk Ustaz Haji Bungsu @
Aziz Haji Jaafar selepas solat Zohor, sebelum jenazah Allahyarham dibawa ke Tanah
Perkuburan Islam Kampung Inanam Laut.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor turut hadir memberi
penghormatan terakhir dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga
Allahyarham.

Hadir sama memberi penghormatan terakhir ialah mantan Yang di-Pertua Negeri, Tun
Datuk Seri Panglima (Dr) Haji Juhar Datuk Haji Mahiruddin, Speaker Dewan
Undangan Negeri (DUN), Datuk Seri Panglima Haji Kadzim Haji M.Yahya, Timbalan
Ketua Menteri, Datuk Ir.Shahelmey Yahya, Menteri Sains Teknologi dan Inovasi
Negeri, Datuk Dr. Haji Mohd Arifin Mohd Arif, Menteri Pembangunan Luar Bandar
Negeri, Datuk Jahid Jahim, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr.Haji
Safar Untong dan kenamaan lain.

Sebagai tanda penghormatan, Kerajaan Negeri turut mengumumkan tempoh
berkabung rasmi selama satu hari, dengan bendera negeri dikibarkan separuh tiang
sepanjang tempoh tersebut. -pr/BNN