KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor ingin melihat lebih ramai petani menceburi penanaman koko dan memperluaskan 3,000 hektar tanah
yang sudah diusahakan di Sabah.
Beliau berkata terdapat peningkatan permintaan antarabangsa bagi produk koko
Malaysia, dengan nilai eksport mencapai rekod RM15.06 bilion tahun lalu, tiga kali
ganda berbanding tahun 2023.
“Kita bangga bahawa Sabah telah memainkan peranan penting dalam kejayaan ini,
menyumbang lebih 60 peratus daripada pengeluaran koko negara.
“Saya gembira bahawa kira-kira 3,000 petani koko di daerah Ranau, Tenom, Kota
Marudu, Keningau dan Kuamut telah mendapat manfaat,” katanya pada Majlis Makan
Malam Koko yang diadakan sempena dengan Pameran Koko Antarabangsa Malaysia
2025 (MICF 2025) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini malam ini.
Ucapannya disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri I / Menteri Pertanian, Perikanan
dan Industri Makanan Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan.
Hajiji berkata ini adalah satu acara penting bagi Sabah dan mencerminkan peranan
besar negeri dalam industri koko Malaysia.
Beliau memuji Lembaga Koko Malaysia atas usaha menggerakkan kejayaan ini.
Ketua Menteri berharap Pameran Koko Antarabangsa Malaysia (MICF) dan majlis
makan malam ini akan membawa manfaat yang berkekalan, dari perkongsian dan
pelaburan baru kepada peningkatan kesedaran global mengenai kekuatan Sabah,
bukan sahaja sebagai negeri pengeluar koko utama di Malaysia, tetapi juga sebagai
destinasi untuk perniagaan, pelancongan dan kebudayaan.
“Kita juga mengucapkan terima kasih kepada semua pempamer antarabangsa dan
pengeluar koko, usahawan dan PKS tempatan, institusi akademik, dan kepada penaja
dan rakan kongsi, baik dari Malaysia mahupun luar negara, yang telah menjayakan
MICF 2025 ini,” katanya.-pr/BNN