KOTA KINABALU:  Pengagihan kerusi bagi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) Sabah perlu dibuat secara rasional dengan mengiktiraf Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai parti tonggak yang memimpin kerajaan negeri ketika ini.
Keutamaan ini bukan sahaja mencerminkan realiti politik semasa, malah menghormati aspirasi majoriti rakyat Sabah yang mendukung parti tempatan.
Menurut  mantan Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah, Aksyah Haji Nasrah, jumlah kerusi yang akan ditandingi oleh GRS telah pun diumumkan lebih awal oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, iaitu sebanyak 50 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Ini bukan soal mendominasi, tetapi soal keadilan kepada parti yang telah membuktikan kestabilan politik, keberkesanan pentadbiran, dan komitmen terhadap agenda pembangunan rakyat melalui Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ)” tegas beliau.
Beliau yang kini pro-GRS berkata, kenyataan tegas Hajiji sebelum ini bahawa GRS tidak teragak-agak untuk bertanding secara solo sekiranya dipinggirkan dalam rundingan kerusi adalah tindak balas wajar terhadap perkembangan semasa di peringkat pusat, khususnya pengumuman kerjasama PH-BN.
“Pengagihan kerusi yang tidak mengambil kira peranan GRS sebagai parti pemerintah di Sabah akan mencetuskan sentimen kekecewaan rakyat yang selama ini mahu melihat parti tempatan terus memimpin negeri mereka.
“Inilah punca kenapa slogan ‘Sabah for Sabahan’ kembali bergema secara organik dalam kalangan rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau menekankan bahawa sebarang bentuk kerjasama politik mestilah berpaksikan prinsip saling menghormati dan memperkukuh kestabilan, bukan sebaliknya mengancam kedudukan parti tempatan yang diberi mandat oleh rakyat.
“GRS perlu diiktiraf sebagai tuan rumah dalam rundingan kerusi. Prinsip asasnya mudah – jika rumah ini hendak dijaga bersama, peranan tuan rumah tidak boleh diketepikan. Sebaliknya, ia perlu dihormati,” ujar Aksyah lagi.
Beliau turut menyeru agar pengagihan kerusi dilakukan dengan penuh bijaksana, demi mengelak pertembungan tidak perlu yang hanya akan menguntungkan pihak lawan.
“Buat masa ini, cadangan GRS untuk bertanding di 50 kerusi adalah rasional dan adil. Selebihnya boleh diperuntukkan kepada rakan kerjasama seperti PH Plus, dengan matlamat membentuk barisan pilihan raya yang kuat, bersatu dan mewakili semua lapisan rakyat Sabah,” tambahnya.
Aksyah juga menasihatkan semua pihak agar tidak menjadikan rundingan kerusi sebagai medan menonjolkan kuasa, sebaliknya menumpukan kepada strategi terbaik untuk memenangi hati rakyat Sabah dan memastikan kesinambungan dasar pembangunan negeri dapat dicapai selaras dengan Halatuju Sabah Maju Jaya sebagai asasnya. -pr/BNN