KOTA KINABALU: Perkhidmatan feri penumpang antara Kota Kinabalu dan Wilayah Persekutuan Labuan kini kembali beroperasi selepas beberapa tahun terhenti, sekali gus memperkukuh jaringan pengangkutan laut dan membuka semula laluan penting kepada mobiliti rakyat serta perkembangan ekonomi rentas wilayah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata pengoperasian semula laluan ini bukan hanya satu langkah logistik, tetapi juga isyarat jelas keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat di Sabah dan Labuan. “Perkhidmatan ini amat penting kepada rakyat. Ia bukan sekadar laluan perhubungan, tetapi penghubung kekeluargaan, pendidikan, pelancongan dan perniagaan yang telah terjalin sejak sekian lama,” katanya pada Majlis Pelancaran Jeti dan Perasmian Feri Penumpang Kota Kinabalu–Labuan di Pelabuhan Kota Kinabalu pada Selasa.

Menurutnya, gangguan perkhidmatan yang berlaku sebelum ini disebabkan beberapa faktor seperti struktur jeti yang tidak selamat, penarikan subsidi minyak kepada pengusaha serta kesan pandemik COVID-19, yang mengganggu kesinambungan mobiliti rakyat. Katanya, sebagai langkah penyelesaian segera, terminal feri dipindahkan dari Jesselton Point ke Pelabuhan Kota Kinabalu, dengan pengurusan operasi kini dikendalikan sepenuhnya oleh pihak Pelabuhan Kota Kinabalu.

“Projek ini turut menerima peruntukan RM1.3 juta daripada Kementerian Wilayah Persekutuan bagi kerja-kerja penambahbaikan. Saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat termasuk Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan (PHEDNP), Lembaga Pelabuhan-Pelabugan Sabah (LPPS), Kementerian Kerja Raya, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kumpulan Suria yang telah berganding bahu merealisasikan inisiatif ini,” katanya.

Hajiji berkata, perkhidmatan feri ini dijangka memberi impak positif terhadap sektor pelancongan negeri, terutama menjelang Tahun Melawat Sabah 2026. “Ia juga membuka peluang baharu dalam bidang perdagangan dan pelaburan antara Sabah dan Labuan,” katanya. Beliau menegaskan bahawa hubungan antara Sabah dan Labuan tidak hanya terbatas kepada aspek geografi, tetapi turut mencakupi sejarah, budaya dan hubungan sosial yang mendalam, menjadikan laluan ini sangat signifikan kepada rakyat kedua-dua wilayah.

Menurutnya, ramai rakyat Sabah bekerja dan menetap di Labuan, dan sebaliknya. Justeru, sambungan semula laluan ini amat bermakna kepada ramai pihak. Katanya, dengan beroperasinya semula perkhidmatan ini, rakyat kini mempunyai lebih banyak pilihan pengangkutan – sama ada menggunakan laluan udara, jalan darat ke Menumbok, atau terus melalui feri ekspres dari Kota Kinabalu ke Labuan seperti sebelum ini.

Hajiji berkata, pelancaran ini menandakan permulaan kepada satu rangka kerja pengangkutan laut yang lebih kukuh, cekap dan lestari, sesuai dengan aspirasi negeri untuk menyediakan kemudahan mesra rakyat dan mesra alam kepada generasi akan datang. Beliau memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri komited untuk memastikan tiada rakyat yang terpinggir akibat kekangan logistik, dan pembangunan infrastruktur akan terus dipacu demi kemajuan inklusif.

“Semoga jeti dan perkhidmatan feri ini menjadi jambatan yang menghubungkan bukan sahaja wilayah, tetapi juga silaturahim, peluang ekonomi dan harapan masa depan rakyat,” katanya.-pr/BNN