KOTA KINABALU: Transformasi sistem pendidikan negeri adalah satu keperluan mendesak,
bukannya pilihan, dalam memastikan pelajar Sabah bersedia mendepani cabaran masa depan, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
Beliau berkata, data kajian terkini pada tahun 2024 menunjukkan hanya 65 peratus pelajar
memiliki kemahiran menyelesaikan masalah pada tahap baik atau sangat baik, manakala 72 peratus sahaja yakin mengaplikasikan pengetahuan sains dalam kehidupan harian.
“Keadaan ini menunjukkan bahawa kita tidak boleh berpuas hati. Ramai pelajar masih bergelut memahami konsep asas STEM. Maka transformasi pendidikan mesti menjadi agenda utama semua pihak,” katanya ketika merasmikan Persidangan Penyelidikan Pendidikan Antarabangsa
“Astounding Research Innovation STEM Exploration” (ARISE) 2025 di Sabah International
Convention Centre (SICC) pada Rabu.
Katanya, pendekatan pengajaran berasaskan penyelidikan dan inovasi perlu diperkasa serta diarusperdanakan agar sistem pendidikan Sabah kekal relevan, inklusif dan berdaya saing.
Beliau turut menyeru semua pendidik, institusi pendidikan, penyelidik dan penggubal dasar agar terus meneroka dan menambah baik pendekatan pendidikan sesuai dengan era digital dan keperluan industri masa kini.
Hajiji berkata, Persidangan ARISE 2025 yang menghimpunkan lebih 600 peserta dari dalam
dan luar negara, termasuk United Kingdom, Sepanyol, Filipina, China dan Ireland, menjadi
platform penting dalam merintis kerjasama pendidikan bertaraf global.
“Persidangan ini bukan sahaja menyatukan tenaga pendidik, penyelidik dan penggubal dasar dari pelbagai negara, tetapi turut mendorong pemerkasaan pendidikan berteraskan sains, teknologi dan budaya,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan kepentingan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta pendidikan Sains Teknologi Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sebagai pemacu kepada pembangunan modal insan Sabah yang berkualiti, berdaya saing dan berinovasi.
Dalam konteks itu katanya, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM41.75 juta
tahun ini kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI), Sabah Skills and Training Centre (SSTC), dan Sabah Creative Economy and Innovation Centre untuk
pelaksanaan pelbagai program latihan dan pemerkasaan kemahiran.
Menurutnya, antara program utama termasuk Kembara Sains Borneo, Karnival Sains Sabah, Pertandingan Teknologi dan Inovasi, Festival Pendidikan STEM, Program Roboneo dan Sabah Screen Fest – yang menjadi medium penting menjana minat pelajar terhadap bidang teknologi dan kejuruteraan.
Hajiji juga menyambut baik pembentangan sebanyak 13 subtema persidangan, termasuk
pendidikan digital, pengajian Melayu, pendidikan Islam, bimbingan dan kaunseling, sains sukan, seni visual serta pendidikan awal kanak-kanak.
Beliau yakin perkongsian ilmu ini akan membawa kepada kerjasama antarabangsa yang mampu meningkatkan profil penyelidik dan institusi pendidikan di Sabah ke peringkat global.
“Warga pendidik adalah nadi dan tulang belakang kepada kejayaan transformasi pendidikan. Saya menyeru agar mereka berani meneroka penyelidikan dan inovasi dalam pendidikan,” katanya.
Menurutnya, persidangan ini juga menjadi manifestasi iltizam kerajaan negeri menerusi Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 2021–2025 yang mengutamakan pendidikan sebagai
pemangkin pembangunan mampan negeri.-pr/BNN