KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengambil langkah strategik untuk meneruskan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) Plus dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 Sabah, sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan yang diberikan dalam mengekalkan kestabilan politik negeri itu sebelum ini.
Menurut mantan Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah, Aksyah Haji Nasrah, keputusan Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana GRS tidak pernah secara rasmi mengumumkan akan bertanding secara solo dalam PRN akan datang.
“Kerjasama ini adalah manifestasi balas budi kepada pemimpin PH-Plus yang tetap menyokong Kerajaan GRS selepas insiden ‘Langkah Kinabalu’ yang mencetuskan ketidaktentuan politik di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, pengumuman awal oleh Sekretariat PH-BN Pusat untuk membentuk kerjasama menghadapi PRN Sabah telah mencetuskan persepsi bahawa GRS diketepikan, sekali gus memaksa GRS menilai semula kedudukannya dan mempertimbangkan untuk bertanding secara solo. Perkara ini turut membakar semangat slogan “Sabah for Sabahan”.
“Namun, adalah tidak wajar apabila pembangkang mempersendakan kenyataan Hajiji dan menuduh beliau tidak berani bertindak sendirian. Hakikatnya, kenyataan itu adalah bersyarat dan sebagai respon kepada tindakan PH-BN Pusat,” ujarnya.
Susulan pengumuman itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Panglima Anwar Ibrahim (PMX) telah turun ke Sabah untuk mengadakan pertemuan bersama Hajiji, bagi membincangkan semula jajaran kerjasama antara GRS dan PH-Plus menjelang PRN.
Aksyah turut menempelak pembangkang yang didakwanya cuba mewujudkan persepsi kononnya berlaku perpecahan dalam GRS, hanya kerana wujud perbezaan pandangan antara sesetengah pemimpin parti berhubung kerjasama pilihan raya.
“Sebagai parti yang matang dan berpengalaman, GRS menghormati perbezaan pandangan. Ini bukan petanda perpecahan, sebaliknya satu tradisi demokrasi dalaman yang memperkukuh parti,” jelasnya.
Beliau juga membandingkan situasi itu dengan kenyataan Presiden UMNO baru-baru ini yang menegaskan hanya ada satu nakhoda di Sabah – satu kenyataan yang menurut Aksyah membayangkan wujud pergolakan dalaman dalam UMNO/BN sendiri.
Dalam pada itu, beliau menyeru penyokong dan ahli GRS agar terus mendukung keputusan pimpinan parti demi kekuatan gabungan menjelang PRN akan datang.
“Hakikatnya, tanpa sokongan PH-Plus, GRS mungkin tidak akan menjadi parti yang memimpin kerajaan negeri hari ini. Maka, menghargai sumbangan mereka adalah tindakan wajar,” katanya sambil menambah bahawa kemenangan hanya boleh dicapai jika jentera parti diperkukuh dan semangat berpasukan diutamakan.
Beliau turut menekankan bahawa penyatuan GRS adalah hasil pengorbanan ego politik pemimpin-pemimpin tempatan demi membentuk satu blok politik yang lebih kukuh untuk rakyat Sabah.
“Dominasi 50 kerusi DUN yang akan ditandingi oleh parti-parti tempatan membuktikan bahawa Sabah kini berada dalam kendalian kepimpinan anak watan sendiri,” katanya.
Aksyah kini dikenali sebagai penyokong kuat GRS setelah meninggalkan jawatannya dalam BERSATU Sabah.-pr/BNN