KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor meminta
rakyat untuk sentiasa menghormati perbezaan bagi membina satu ikatan perpaduan
yang lebih kuat.

Beliau berkata, ikatan perpaduan akan lebih kuat dan kukuh jika rakyat terus bersatu.

“Justeru, saya menyeru kepada rakyat untuk terus bersama kerajaan sebagai rakan
kongsi untuk perkuatkan perpaduan dan mengekalkan kestabilan politik demi
kesejahteraan rakyat dan kelancaran pembangunan negeri yang tercinta ini.

“Pesta Kaamatan yang disambut setiap tahun pada bulan Mei bukan sahaja bertujuan
mengeratkan silaturahim dan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan
agama tetapi juga untuk menyatakan rasa kesyukuran atas hasil tuaian yang baik.

“Namun lebih daripada itu, Kaamatan adalah cerminan keharmonian dan semangat
muhibbah dalam kalangan rakyat Sabah, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI
yang menekankan nilai kemanusiaan, saling menghormati dan kebersamaan,” katanya
dalam perutusan sempena Sambutan Pesta Kaamatan 2025, di sini pada Khamis.

Bertemakan “Kaamatan Untuk Semua, Kaamatan For All, Kaamatan Montok Toinsanan’, beliau berkata tema ini membawa mesej yang sangat mendalam dan inklusif.

“Tema ini jelas menyatakan bahawa Pesta Kaamatan bukan hanya milik satu komuniti,
tetapi satu perayaan bersama yang merangkumi semua rakyat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.

“Saya ingin mengucapkan selamat menyambut Pesta Kaamatan, Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan kepada seluruh masyarakat yang meraikannya,” katanya. -pr/BNN