KOTA KINABALU: Mantan Presiden Persatuan Ahli-Ahli Kehormat Ikatan Relawan Malaysia (RELA) Negeri Sabah, Brig. Jen. (Kehormat) RELA, Dato’ Jerry Ambuting Mohd Said, menyatakan sokongan penuhnya terhadap kenyataan Pegawai Khas Ketua Menteri, Sazalye Donol, yang mempertahankan penganjuran sambutan rasmi Hari Jadi Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah daripada dakwaan tidak berasas.
Menurutnya, tindakan mempertikai sambutan tahunan yang telah dilaksanakan secara tertib dan berlandaskan peraturan ini adalah tidak bertanggungjawab, serta berpotensi mencemarkan imej institusi tertinggi negeri Sabah.
“Sebarang cubaan untuk memburukkan institusi TYT – yang menjadi lambang kestabilan, kedaulatan dan perpaduan negeri – bukan sahaja tidak wajar, malah boleh dianggap sebagai tindakan mencabar keluhuran Perlembagaan Negeri,” tegas beliau.
Beliau turut menyifatkan kenyataan oleh seorang aktivis mahasiswa baru-baru ini sebagai tidak berfakta dan cenderung kepada manipulasi sentimen rakyat tanpa memahami struktur serta peranan institusi negeri.
“Saya menghargai penjelasan Sazalye yang menyatakan dengan jelas bahawa sambutan kali ini bukan sahaja mematuhi peraturan kewangan dan perundangan, malah mengambil pendekatan penjimatan kos yang amat berpatutan.
“Program-program yang tidak perlu dan berimpak tinggi dari segi perbelanjaan telah dikurangkan, manakala aktiviti kebajikan seperti meraikan anak-anak yatim dan majlis keagamaan dikekalkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jerry menegaskan bahawa dalam usaha untuk memperkasakan suara rakyat, semua pihak – terutamanya golongan muda dan mahasiswa – perlu berhati-hati agar tidak terperangkap dalam permainan persepsi atau politik sempit yang boleh merosakkan keharmonian negeri.
“Kita tidak menolak hak bersuara, tetapi biarlah bersandarkan kepada fakta dan adab. Jangan sampai semangat kritikal berubah menjadi penghinaan terhadap institusi yang kita junjung”, tegasnya.
Beliau turut menyeru agar rakyat Sabah menilai sesuatu isu berdasarkan maklumat sahih dan tidak mudah terpengaruh dengan naratif yang dibina secara terburu-buru di media sosial.
Jerry menyatakan keyakinannya terhadap keprihatinan dan kebertanggungjawaban kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, dalam menjaga integriti pentadbiran serta menjamin bahawa setiap program kerajaan, termasuk sambutan rasmi negeri, dilaksanakan secara berhemah dan berpandukan keutamaan rakyat.-pr/BNN