TAWAU: Spekulasi mengenai agihan kerusi antara Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 masih belum ada keputusan rasmi sehingga kini.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, dakwaan kononnya GRS akan bertanding di 52 kerusi manakala PH diperuntukkan 21 kerusi adalah sekadar cakap-cakap politik dan belum disahkan mana-mana pihak.
“Selagi belum ada pengumuman rasmi, kita anggap ia hanya spekulasi. Perkara seperti ini memang biasa timbul menjelang PRN, namun jangan biarkan ia menjejaskan fokus terhadap usaha pembangunan dan penyatuan rakyat di Sabah,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah berkata demikian ketika ditemui pada Pesta Kebudayaan Hari Bergembira Etnik Tidung Borneo Sabah 2025, hari ini.
Mengulas lanjut, Nizam berkata, keputusan rasmi pembahagian kerusi DUN dijangka diumumkan dalam masa terdekat dan ia akan ditentukan oleh kepimpinan tertinggi GRS dan PH.
“Saya yakin Ketua Menteri merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor akan membuat keputusan terbaik demi kepentingan rakyat serta masa depan Sabah,” katanya.
Katanya, dalam konteks politik semasa, keutamaan harus diberikan kepada suara dan aspirasi rakyat Sabah, selain memastikan kepimpinan negeri diterajui anak tempatan yang faham budaya dan keperluan masyarakat di negeri ini.
Sementara itu, menyentuh mengenai pesta kebudayaan tersebut, Nizam berkata, kepelbagaian budaya di Sabah adalah aset penting yang perlu dipelihara untuk mengekalkan keharmonian dan perpaduan rakyat.
“Penganjuran pesta seperti ini membuktikan budaya bukan sekadar warisan sejarah, tetapi juga elemen penting dalam membentuk jati diri serta memperkukuh persefahaman antara rakyat pelbagai kaum di Sabah.
“Saya berharap pesta ini dapat diteruskan sebagai acara tahunan dengan sokongan penuh daripada pihak penganjur,” katanya.-pr/BNN