KOTA KINABALU: Lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) ke Sabah bagi merasmikan Pesta Kaamatan pada Jumaat lalu memberi gambaran jelas terhadap komitmen Kerajaan Persekutuan dalam memperkukuh hubungan kerjasama bersama Kerajaan Negeri Sabah.
Lawatan tersebut bukan sahaja memperlihatkan pengiktirafan PMX terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), malah mencerminkan keikhlasan dalam meneruskan sinergi antara kerajaan negeri dan Persekutuan, khususnya di bawah gabungan GRS-PH Plus.
Antara pengumuman penting yang dibuat oleh Anwar termasuklah komitmen terhadap rundingan antara Kerajaan Sabah dan Petronas, penegasan bahawa negara ini berpaksikan kepada undang-undang dan bukan persepsi semata-mata, serta penambahan peruntukan untuk menangani isu bekalan air di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Langkah ini dilihat sebagai satu pengiktirafan terhadap keutamaan negeri dalam agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat.
Mantan Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah, Aksyah Haji Nasrah yang kini menyokong GRS, menyatakan bahawa kenyataan dan tindakan PMX memberi petunjuk jelas bahawa Kerajaan Persekutuan mengiktiraf kestabilan politik Sabah di bawah pimpinan GRS-PH
Plus.
“Hajiji secara konsisten memperjuangkan kerjasama politik yang inklusif, dan penghargaan perlu diberikan kepada PH Plus atas sokongan utuh yang memungkinkan GRS menjadi kerajaan yang sah hingga hari ini,” katanya, hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa suasana politik yang stabil ini seharusnya dimanfaatkan oleh rakyat Sabah, dengan menjadikan GRS sebagai teras dalam sebarang rundingan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.
Menurutnya, sikap saling menghormati dalam kalangan pimpinan adalah asas kepada kestabilan yang dikecapi kini.
Mengulas kritikan terhadap kejujuran PMX, Aksyah menyifatkannya sebagai suara sumbang yang cuba menggugat kerjasama baik antara dua peringkat kerajaan.
Beliau menyeru rakyat supaya tidak terperangkap dalam naratif pembangkang yang, menurutnya, hanya akan menjejaskan pembangunan dan kemajuan Sabah.
“Rakyat perlu bijak menilai. Hampir semua isu yang dibangkitkan pembangkang telah pun diambil tindakan dan hanya menunggu untuk disiapkan serta dipulihkan sepenuhnya,” tambahnya.
Beliau turut mengingatkan rakyat agar belajar daripada sejarah, dengan menegaskan bahawa kepimpinan GRS-PH Plus telah mengambil iktibar daripada masa lalu, dan kini giat melaksanakan projek pembangunan infrastruktur serta program peningkatan sosio-ekonomi seperti Rumah Sejahtera SMJ, SYUKUR dan BUDI.
Aksyah turut mengucapkan penghargaan kepada PMX dan PH Plus atas pengiktirafan terhadap GRS sebagai gabungan tempatan dominan dalam kepimpinan negeri.
“Pengiktirafan terhadap semangat Sabah Maju Jaya menerusi slogan seperti ‘SabahFirst’, ‘Demi Sabah’ dan ‘Sabah for Sabahan’ adalah bukti kesatuan cita-cita antara negeri dan Persekutuan demi kemakmuran bersama”, tegasnya.
Beliau turut mengajak rakyat untuk bersama mempertahankan kerajaan sedia ada, sambil mengingatkan bahawa “Rome tidak dibina dalam sehari”, dan usaha membina masa depan Sabah memerlukan kestabilan jangka panjang serta kepimpinan yang berwibawa.-pr/BNN