KOTA KINABALU: Bekas pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah, Dato’ Jerry Ambuting Mohd Said menyokong kenyataan Perdana Menteri (PMX), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menekankan keperluan untuk berwaspada dalam menilai video tular yang dikaitkan dengan dakwaan rasuah beberapa pemimpin politik di Sabah.
Menyifatkan kenyataan PMX sebagai “bertanggungjawab dan berpijak di bumi nyata”, Jerry berkata siasatan menyeluruh dan tidak dipengaruhi persepsi politik adalah teras kepada keadilan dan integriti dalam negara.
“Sebarang bentuk tuduhan melibatkan rasuah dan salah guna kuasa tidak boleh disimpulkan semata-mata berdasarkan video yang belum disahkan ketulenannya.
“Kita tidak boleh membiarkan emosi dan politik persepsi mengatasi prinsip keadilan,” tegas beliau dalam kenyataan media hari ini.
Mengulas sindiran bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya yang menyifatkan kenyataan PMX sebagai “jenaka”, Jerry menegaskan bahawa sikap menghukum tanpa proses siasatan adalah tidak bertanggungjawab dan boleh merosakkan kredibiliti institusi penguatkuasaan.
“Sebagai mantan pemimpin sukarelawan RELA, saya faham betapa pentingnya kita menjunjung nilai ketelusan. Tetapi ketelusan tidak bermakna kita boleh menjatuhkan hukuman di medan media sosial atau forum terbuka sebelum siasatan rasmi dijalankan,” katanya.
Beliau yang juga bekas Presiden Persatuan Ahli-Ahli Kehormat Ikatan Relawan Malaysia (RELA) Negeri Sabah turut menyeru rakyat Sabah agar tidak terpengaruh dengan kenyataan yang berpotensi membangkitkan sentimen dan ketegangan politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke 17, yang dijangka akan diadakan dalam masa terdekat.
“Saya merayu kepada seluruh rakyat Sabah – usah biarkan provokasi politik luar meracuni semangat perpaduan dan keamanan yang telah kita bina. Biarlah undang-undang berjalan, dan kita hormati kebijaksanaan SPRM serta institusi kehakiman,” ujar beliau.
Dalam masa sama, Jerry turut menegaskan keperluan untuk semua pemimpin, sama ada kerajaan atau pembangkang, untuk menunjukkan teladan yang baik dalam menghormati proses siasatan, dan bukannya mengambil kesempatan terhadap sentimen rakyat demi keuntungan politik.
“Sabah telah melalui pelbagai fasa pergolakan politik. Cukuplah. Kini masanya kita bersatu di atas semangat kenegaraan, bukan berpecah kerana agenda peribadi. Rakyat mahu kestabilan, bukan kekeliruan,” katanya.
Jerry yang kini ahli Parti STAR juga menyuarakan keyakinan terhadap kebolehan Perdana Menteri untuk memastikan ketelusan dan keadilan ditegakkan dalam isu ini, tanpa campur tangan politik.
“Saya yakin akan terus berdiri atas prinsip kedaulatan undang-undang. SPRM harus diberi ruang dan sokongan, bukan tekanan atau sindiran,” tambah beliau.
Beliau juga menyeru rakyat agar “berhati-hati dalam menilai maklumat yang tular, dan sentiasa rujuk kepada fakta dan proses perundangan rasmi demi kestabilan dan maruah negeri Sabah.”-pr/BNN