KENINGAU: The Crocker Range Festival (TCRF) akan kembali memeriahkan Dataran Keningau dari 26 hingga 29 Jun ini dengan pelbagai pengisian menarik sempena penganjuran musim ke-8 festival tahunan tersebut.
Acara ini dijangka menjadi tumpuan utama pelancong dan pencinta budaya, bukan sahaja dari Sabah tetapi juga dari seluruh negara.
Sebagai platform penting dalam meraikan dan mempromosikan kekayaan budaya etnik di pedalaman Sabah, TCRF 2025 akan menampilkan pelbagai aktiviti kebudayaan dan komuniti termasuk persembahan seni, pertandingan kraf, sukan tradisional, serta program utama seperti Miss & Mister Crocker Range dan pameran produk tempatan.
Penganjuran tahun ini turut membawa pembaharuan dengan penggabungan tiga komponen baharu — Sabah Cultural Fiesta, Keningau Youth Fiesta, dan Kids Fiesta.
Pengerusi Penganjur TCRF, Rafie Robert berkata, inisiatif ini memberi peluang kepada semua peringkat umur untuk menikmati pelbagai aktiviti secara percuma, sejajar dengan matlamat festival untuk merapatkan jurang antara generasi serta memupuk semangat kebersamaan.
Katanya, antara tarikan utama yang bakal mencuri perhatian pengunjung adalah persembahan eksklusif oleh dua ikon seni etnik tempatan — Alena Murang dan Belle Sisoski. Kedua-dua artis ini dijangka memukau hadirin dengan persembahan muzik tradisional yang mengangkat identiti budaya Borneo ke persada lebih tinggi.
Menurutnya, TCRF terus komited menjadi wadah utama dalam memperkukuh perpaduan masyarakat melalui warisan budaya.
“Kami amat teruja untuk meneruskan kesinambungan The Crocker Range Festival sebagai platform memartabatkan budaya dan memperkukuh perpaduan masyarakat. Kehadiran artis-artis hebat seperti Alena Murang dan Belle Sisoski bakal memberikan pengalaman budaya yang lebih mendalam kepada pengunjung,” ujarnya.
Rafie berkata, festival ini turut membuka peluang kepada usahawan tempatan memasarkan produk mereka secara langsung kepada pengunjung, sekaligus memberi impak positif terhadap ekonomi komuniti luar bandar.
Katanya, penganjuran TCRF 2025 bukan sekadar sambutan kebudayaan, malah merupakan sebahagian daripada usaha menyokong dasar Kerajaan Negeri dalam membangunkan industri pelancongan.
“Ia juga selaras dengan aspirasi Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menekankan pemerkasaan sektor pelancongan sebagai antara pemacu utama pembangunan ekonomi negeri”, katanya
Rafie berkata, TCRF 2025 adalah satu usaha holistik dalam memperkukuh sektor pelancongan, memelihara identiti budaya serta merancakkan pembangunan ekonomi setempat.
Orang ramai dijemput hadir beramai-ramai untuk menyertai kemeriahan The Crocker Range Festival 2025 dan merasai sendiri keunikan budaya Sabah yang kaya dan berwarna-warni.
Katanya, orang ramai yang memerlukan maklumat lanjut, boleh melayari laman rasmi Facebook The Crocker Range Festival di facebook.com/TCRF.Keningau atau hubungi sekretariat penganjur di talian 019-8523303.-pr/BNN