KENINGAU: Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.40 Bingkor, Datuk Robert Tawik @ Nordin, meneruskan tradisi menyantuni komuniti Islam di kawasannya sempena sambutan Aidiladha tahun ini.

Beliau menghulurkan sumbangan kepada sembilan masjid dan surau di sekitar DUN Bingkor bagi membiayai pembelian haiwan korban sebagai persiapan sambutan Hari Raya Haji yang bakal tiba.

Antara penerima sumbangan tersebut ialah Masjid Nur Hidayah Pekan Bingkor, bersama Surau Otmania Kg Sandapak dan Surau An Nur Kg Bandukan Baru,Masjid Ar Rasyid Kg Kota Ayangan, bersama Surau Seri Taratai Kg Kota Ayangan Ulu,Masjid Al Islaahiyam Kg Bunga Raya, bersama Masjid Ar Raudah Kg Mengitom Baru,Masjid Ukhuwah Kg Apin Apin dan Masjid Riyadatu Solihin Kg Merampong.

Majlis penyerahan sumbangan telah disempurnakan oleh wakil beliau iaitu Pegawai Tadbir Agama JHEAINS Keningau, Kalana Lias, bersama Ketua Biro Agama Islam DUN N.40 Bingkor, Hj Yazid Hj Mohd Hasnan Tawik @ Charles, Timbalan Ketua Wiramuda, Raziddin Robert, serta Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Bingkor, Junior Fred.

Hj Mokshin, mewakili para penerima, merakamkan penghargaan dan terima kasih atas keprihatinan Datuk Robert terhadap keperluan masyarakat Islam di kawasan tersebut.

“Sejak sebelum bergelar wakil rakyat lagi, Datuk Robert sudah pun tampil memberi sumbangan kepada masjid dan surau, dan tradisi itu diteruskan hingga hari ini,” katanya.

Sumbangan ini mencerminkan komitmen berterusan Robert dalam memperkukuh hubungan dengan masyarakat setempat tanpa mengira waktu dan musim.- pr/BNN